Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Sabah mengambil pendekatan lebih adaptif terhadap sektor pelancongannya susulan perubahan berterusan dalam industri penerbangan global akibat ketegangan geopolitik, peningkatan kos operasi dan perubahan kapasiti syarikat penerbangan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, perancangan pelancongan negeri akan dipandu oleh rangka kerja fleksibel yang membolehkan penilaian berterusan terhadap perkembangan global, khususnya yang melibatkan hubungan penerbangan dan permintaan perjalanan antarabangsa.
“Kita sudah melihat perubahan ini memberi kesan kepada kapasiti syarikat penerbangan, termasuk penggantungan laluan dan pengurangan kekerapan penerbangan yang menjejaskan hubungan ke Kota Kinabalu.
“Kita sedang memantau perkembangan ini dengan rapat bagi memastikan perancangan pelancongan negeri kekal responsif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara laluan yang terjejas ialah penggantungan sementara penerbangan AirAsia bagi laluan Singapura-Kota Kinabalu dari 13 Mei hingga 30 November, Jakarta-Kota Kinabalu dari 16 April hingga 21 Mei, serta Ho Chi Minh-Kota Kinabalu bermula 1 Julai.
Batik Air turut menggantung laluan Seoul-Kota Kinabalu berkuat kuasa 28 April, manakala di peringkat domestik, AirAsia akan menggantung sementara laluan Sibu-Kota Kinabalu dan Bintulu-Kota Kinabalu dari 8 Jun hingga 30 Jun.
Jafry berkata, perkembangan itu mencerminkan faktor luaran yang lebih luas yang boleh mempengaruhi jumlah ketibaan pelawat dan trend hubungan penerbangan keseluruhan.
Beliau berkata, perancangan prestasi ketibaan pelawat dibuat berdasarkan penilaian senario yang mengambil kira pelbagai keadaan operasi termasuk gangguan luaran berpanjangan, keadaan yang semakin stabil dan potensi pemulihan kapasiti syarikat penerbangan.
“Setakat Mac, jumlah ketibaan pelawat masih berada di landasan untuk mencapai sasaran asal empat juta ketibaan, namun sasaran itu mungkin disemak semula bergantung kepada perkembangan semasa berkaitan hubungan penerbangan dan keadaan pasaran,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu turut disokong oleh risikan pasaran, penyelidikan dan penglibatan industri secara berterusan yang diterajui Lembaga Pelancongan Sabah (STB), termasuk kerjasama dengan syarikat penerbangan bagi memperkukuh perancangan hubungan penerbangan dan menyokong strategi pelancongan negeri.
Berdasarkan statistik awal, Sabah merekodkan 932,970 ketibaan pelawat sehingga Mac 2026, melibatkan 537,317 pelawat domestik dan 395,653 pelawat antarabangsa.
Jafry menegaskan Sabah kekal komited untuk mengekalkan pertumbuhan sektor pelancongan sambil terus fleksibel dalam menghadapi perubahan keadaan industri penerbangan.
Katanya, negeri akan terus mempergiat usaha promosi di pasaran domestik dan serantau utama yang mempunyai hubungan penerbangan sedia ada, selain memanfaatkan laluan penerbangan semasa untuk mengekalkan ketibaan pelawat.
“Kementerian bersama STB akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pemain industri bagi memperkukuh hubungan penerbangan serta meningkatkan akses ke Sabah.
“Dalam persekitaran semasa, kita perlu kekal adaptif dan responsif,” katanya.




























