Rafie Robert
KOTA KINABALU: Cadangan menetapkan had kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI tidak sesuai dengan realiti penggunaan bahan api di Sabah, khususnya bagi penduduk luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan harian serta aktiviti ekonomi.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert berkata, pelaksanaan Program BUDI MADANI perlu mengambil kira keadaan geografi Sabah yang berbeza daripada kebanyakan negeri di Semenanjung, termasuk faktor jarak perjalanan yang jauh, kebergantungan terhadap kenderaan diesel serta cabaran infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Bagi penduduk di kawasan seperti Keningau, Nabawan, Sook, Tenom dan daerah-daerah pedalaman lain, perjalanan beratus kilometer setiap minggu untuk bekerja, mendapatkan rawatan kesihatan, pendidikan, urusan kerajaan dan perniagaan adalah perkara biasa.
“Dalam keadaan ini, had kuota 200 liter sebulan dilihat tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar rakyat yang menggunakan kenderaan diesel sebagai pengangkutan utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ramai penduduk Sabah menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan pikap yang lebih sesuai dengan keadaan jalan raya luar bandar, kawasan berbukit serta laluan yang mencabar, sekali gus menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi berbanding di kawasan bandar.
Rafie berkata, sektor pelancongan luar bandar yang menjadi antara pemacu ekonomi negeri juga bergantung kepada penggunaan diesel bagi tujuan pengangkutan pelancong, logistik dan operasi harian.
Katanya, pengusaha inap desa, produk pelancongan komuniti serta pengendali pelancongan di kawasan pedalaman memerlukan perjalanan yang kerap dan jauh untuk membawa pelancong ke destinasi eko-pelancongan, kebudayaan dan rekreasi yang menjadi tarikan utama Sabah.
Selain itu, beliau berkata, petani, pekebun kecil, penternak dan usahawan luar bandar turut bergantung kepada diesel untuk mengangkut hasil pertanian, ternakan dan bekalan ke pusat pemasaran yang kebanyakannya terletak jauh dari kawasan pengeluaran.
“Sebarang peningkatan kos diesel akhirnya akan memberi kesan langsung kepada kos operasi, harga barang dan kos sara hidup rakyat, terutama di kawasan pedalaman yang sememangnya berdepan kos pengangkutan yang lebih tinggi berbanding kawasan bandar.
“Jika kos pengangkutan meningkat, kesannya bukan sahaja dirasai oleh pengusaha dan peniaga, malah pengguna juga akan menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, usaha kerajaan membanteras ketirisan dan penyeludupan subsidi wajar disokong demi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keunikan Sabah supaya rakyat tidak terbeban.
Menurutnya, pendekatan yang menggunakan satu kadar kuota untuk seluruh negara tidak semestinya sesuai kerana corak penggunaan bahan api, tahap pembangunan infrastruktur dan jarak perjalanan di Sabah jauh berbeza berbanding kebanyakan negeri lain.
“Sabah merupakan negeri pengeluar minyak dan gas yang menyumbang kepada ekonomi negara. Justeru, adalah wajar kerajaan memberikan pertimbangan khas kepada Sabah dalam pelaksanaan subsidi bahan api agar rakyat negeri ini tidak terjejas oleh dasar yang tidak mengambil kira realiti setempat.
“Kita menyokong matlamat kerajaan untuk mengurangkan ketirisan subsidi, namun pada masa sama dasar yang diperkenalkan mestilah adil, praktikal dan selaras dengan keperluan sebenar rakyat di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula had kuota subsidi diesel 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI serta mempertimbangkan kuota tambahan khas bagi Sabah, terutama untuk penduduk luar bandar, pengguna jarak jauh, pengusaha pelancongan, petani dan sektor pertanian yang bergantung kepada diesel untuk kelangsungan aktiviti harian mereka.




























