PETALING JAYA: Bekas Menteri kesihatan Khairy Jamaluddin mendakwa terdapat individu lain cuba menggunakan nombor Mykad dirinya untuk mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, perkara itu disedarinya selepas beliau gagal mendaftar maklumat dirinya dalam PADU selepas dikatakan akaunnya telah wujud.
“Baru nak daftar dah kecundang,” tulisnya di media sosial bersama tangkap layar mesej PADU.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau terkejut kerana mendakwa beliau tidak pernah mendaftar dengan PADU sebelum ini.
Bagaimanapun, Khairy kemudian berkata, isu itu telah diselesaikan apabila PADU berjaya set semula log masuk untuk nombor kad pengenalan miliknya.
“Ada orang daftar guna nombor kad pengenalan saya. Identitinya didedahkan di atas talian dan tindakan itu saya tidak pasti bagus atau tidak.
“Dua kesilapan tidak menjadikan sesuatu itu benar. Perkara yang betul untuk dilakukan ialah membuat laporan polis. Bukan dedah maya dan dedahkan maklumat peribadi pihak ini atas talian.
“Perkara itu akan mengundang lebih banyak keraguan pada PADU,” kata beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli diminta menjelaskan isu berkaitan pendaftaran PADU kepada Kabinet minggu ini.
Anwar berkata penjelasan perlu dibuat susulan kebimbangan Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg terhadap sistem itu yang didakwa membimbangkan keselamatan data rakyat.


































