Jelani Sulong (kanan) mengadakan sidang akhbar pada majlis pengumuman keputusan STAM 2023 di Kuala Terengganu, kelmarin.
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menggantung tugas seorang guru untuk tempoh sementara selepas guru tersebut didakwa memperdagangkan seorang wanita di sebuah kondominium, di sini, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarahnya, Jelani Sulong berkata, tindakan itu bertujuan memberi ruang kepada siasatan lebih terperinci berhubung pertuduhan tersebut.
Menurutnya, kes itu masih di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia dan JPNT akan menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Baru-baru ini, guru tersebut telah dituduh di mahkamah namun dia tidak mengaku bersalah. Mahkamah telah menetapkan 31 Mac depan depan bagi sebutan semula kes itu.
“Jadi, kita di peringkat jabatan tunggu dahulu keputusan daripada mahkamah sebelum tindakan tatatertib akan menyusul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sidang media pengumuman Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, Jelani berkata, pihaknya juga telah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung isu tersebut.
“Setakat ini guru itu tidak boleh mengajar sehingga mahkamah buat keputusan, jika mahkamah putuskan sebaliknya (tidak bersalah) mungkin guru itu boleh mengajar semula,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang guru dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan memperdagangkan wanita bagi eksploitasi seks, dua minggu lalu.
Guru tersebut, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Namun, rakan guru itu, Mohamad Fazley Jaafar, 29, pula telah membuat pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa telah memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah apartment di bandar raya ini kira-kira pukul 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).


































