Anthony Loke Siew Fook
PUTRAJAYA: Mana-mana pihak berkelayakan, memenuhi syarat dan berkeupayaan untuk melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta 333 dipelawa menghadiri satu sesi taklimat mengenai syarat-syarat pelesenan pada 23 April depan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebarang permohonan berkaitan tawaran tersebut boleh mula dikemukakan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Jun.
“Garis panduan terperinci yang mengandungi semua syarat-syarat perkhidmatan, prosedur pemeriksaan, peralatan pemeriksaan, syarat pengoperasian pusat pemeriksaan, perjanjian tahap perkhidmatan dan lain-lain peraturan berkaitan boleh diperoleh mulai 15 April di laman web rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ.
“Sesi taklimat mengenai syarat-syarat pelesenan dan segala yang berkaitan adalah dijadualkan pada 23 April. Mana-mana pihak yang berminat menghadiri sesi berkenaan boleh mendaftar dengan mengakses pautan https://bit.ly/pemeriksaankenderaan,” kata beliau di sini hari ini.
Pada 24 Mac 2023, media melaporkan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133) tidak lagi dibenarkan secara eksklusif kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kawal selia ke atas perkhidmatan disediakan akan ditetapkan melalui syarat-syarat lesen dengan pemegang lesen juga akan dikenakan bayaran fi bagi setiap lesen yang dikeluarkan.
Jelasnya, semua syarat-syarat yang ditetapkan bertujuan untuk memastikan tahap integriti pemeriksaan adalah teratur dan berkualiti demi menjamin tahap keselamatan kenderaan dan jalan raya.
“Selepas penilaian teliti, MOT dan JPJ akan memberi satu kelulusan interim kepada mana-mana pihak yang telah dinilai berkelayakan dan akan diperuntukkan sehingga 24 bulan bagi tempoh persiapan dan pembangunan.
“Mana-mana pihak yang dalam tempoh masa ini didapati gagal melengkapkan semua proses persiapan akan dibatalkan kelulusan interim tersebut dan tidak akan diberikan lesen,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak yang berjaya melengkapkan semua proses pembangunan dan disahkan boleh mula beroperasi oleh JPJ akan diberikan suatu lesen menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor untuk tempoh masa maksimun 10 tahun.
“Semua pemegang lesen akan diwajibkan menyediakan perkhidmatan seperti mana ditetapkan di bawah syarat-syarat lesen serta dengan mematuhi lain-lain arahan oleh MOT atau JPJ sepanjang tempoh lesen berkuatkuasa,” katanya.
Jelas beliau, syarat-syarat perkhidmatan terbahagi kepada tujuh komponen utama antaranya modal berbayar syarikat ditetapkan berjumlah RM10 juta dan mempunyai modal pusingan berjumlah RM5 juta setahun bertujuan menjaga kemampanan perniagaan.
Selain itu, katanya, pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan semua skop pemeriksaan yang diwajibkan di bawah Akta 333 dan tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan serta sebarang transaksi yang berkaitannya demi menjaga integriti.
“Lokasi pembukaan pusat pemeriksaan adalah di lokasi yang akan ditetapkan oleh MOT. Setiap tawaran akan mempunyai dua lokasi yang dikembarkan setiap satunya merangkumi satu kawasan bandar dan satu kawasan luar bandar.
“Pemohon akan diwajibkan membangunkan dan mengoperasikan kedua-dua lokasi secara serentak dengan senarai lokasi akan dimaklumkan semasa sesi taklimat,” katanya.
Katanya, sebarang pertanyaan berhubung tawaran pemberian lesen bagi melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta 133 boleh diajukan kepada Bahagian Darat, Unit Pengangkutan Jalan di unitpengangkutanjalan@mot.gov.my.


































