Ratusan penduduk berbaring di dataran Monumen Revolusi di bandar Mexico City sempena Hari Tidur Sedunia.
MEXICO CITY: Beralaskan tikar yoga biru terang, topeng tidur dan bantal kecil, beratus-ratus penduduk berbaring di dataran Monumen Revolusi di bandar Mexico City di bawah sinaran matahari pagi bagi menyertai acara unik sempena Hari Tidur Sedunia.
Menurut Utusan Malaysia, acara itu dianjurkan oleh Pusat Tidur dan Neurosains dengan kerjasama Persatuan Mexico untuk Penyiasatan Perubatan dan Tidur (SOMIMS).
Program yang diadakan minggu lalu itu juga bertujuan sebagai tanda protes untuk mendesak supaya tidur dianggap sebagai bahagian penting dalam kesihatan dan kesejahteraan semua golongan masyarakat.
Program yang diadakan minggu lalu itu juga bertujuan sebagai tanda protes untuk mendesak supaya tidur dianggap sebagai bahagian penting dalam kesihatan dan kesejahteraan semua golongan masyarakat.
Beberapa peserta dilihat membalut diri mereka dengan selimut oren terang, manakala yang lain menyediakan telefon mereka untuk memainkan muzik yang menenangkan semasa mereka tidur.
Ketika peserta mula tertidur, penganjur di atas pentas memimpin aktiviti meditasi dan menyenaraikan petua untuk membantu orang tertidur, seperti mendapat banyak cahaya semula jadi pada waktu siang selain mematikan telefon mereka pada waktu malam.
Seorang peserta wanita, Manuel Magaña,52, berkata, idea itu menarik perhatiannya kerana sebagai seorang pemuzik mariachi, dia perlu bekerja pada waktu yang lama dan selalunya hanya tidur ketika matahari hampir terbit.
“Sebagai pemuzik, saya bekerja pada waktu malam dan jarang tidur lena pada siang hari. Kadang-kala kita terlupa untuk makan dan apa yang kita dapat hanyalah tidur sebentar,” katanya.
Pengarah Acara dan Presiden SOMIMS, Oscar Sánchez Escandón berkata, acara itu bertujuan untuk menyerlahkan ‘ketidaksamaan tidur’ di seluruh dunia.
“Kita hidup dalam masyarakat yang penuh dengan komitmen ekonomi, sosial dan politik, di mana segala-galanya penting selain rehat. Itu boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan,” katanya.
Menurut kajian oleh Universiti Autonomi Kebangsaan hampir separuh daripada rakyat Mexico dilaporkan mengalami masalah tidur dan disenaraikan sebagai negara yang paling banyak bekerja di dunia oleh laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan 2019.


































