Ribut petir diramal menjelang perlawanan Malaysia-Oman.
PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan ribut petir dijangka berlaku di kawasan Bukit Jalil menjelang perlawanan aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam hantaran di laman rasminya, Met Malaysia memaklumkan, ribut petir diramal berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil itu bermula pukul 5 petang hingga 8 malam.
Bagaimanapun, MetMalaysia menjangkakan tiada hujan di kawasan berkenaan pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
“Semoga kehadiran lebih ramai penyokong akan dapat meningkatkan lagi semangat dan persembahan barisan pemain Harimau Malaya. Hujan ribut, panas terik, Selamanya #harimaumalaya!
“Teruskan mengikuti media sosial rasmi dan laman web kami di www.met.gov.my untuk informasi cuaca yang pantas dan tepat. Muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih hanya di MET Malaysia,” kata hantaran itu.
Untuk rekod, sepak mula perlawanan skuad kebangsaan menentang Oman dijadual pada pukul 10 malam.