SHAH ALAM: Polis Kuala Selangor menafikan wujud kematian sehingga 10 orang dipercayai berpunca daripada kegiatan menghisap rokok elektronik (vape) jenis ‘magic mushroom’.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, maklumat seperti dimaklumkan menerusi sebuah video yang tular dalam media sosial itu tidak tepat dan tidak dapat dibuktikan.
“(Individu dalam video) tidak memberi maklumat yg tepat kerana kita tidak dapat perangkaan sebenar seperti yang dinyatakan. Bila diminta kemukakan bukti tiada. Hanya andaian.
“Setiap maklumat kita akan buat risikan dan serbuan. Jika terdapat barang yang dinyatakan kita akan hantar kepada kimia utk dianalisis. Keputusan daripada Jabatan Kimia yang menjurus kepada pertuduhan sama ada Akta Dadah Berbahaya atau Akta Racun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu tular laporan dakwaan penggunaan vape magic mushroom yang didakwa popular dalam kalangan remaja di Kuala Selangor menyebabkan lebih 10 kematian.
Laporan tersebut turut menyatakan jika jumlah kematian yang didakwa itu benar, maka negara sedang menuju ke arah malapetaka kematian besar-besaran di kalangan remaja andai magic mushroom tidak disekat segera.
Malah, turut digesa agensi pihak berkuasa seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan bersama polis untuk mengambil tindakan pembanterasan gejalan itu.


































