Rohan Shah Ahmad (kiri) semasa mengambil barang kes di asrama Kolej Vokasional Lahad Datu hari ini.
LAHAD DATU: Kehilangan wang RM85 menjadi punca berlaku pergaduhan sehingga seorang pelajar kolej vokasional ditemukan maut di bilik asrama kolej berkenaan semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dr Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan polis mendapati pergaduhan yang berlaku berpunca daripada isu kehilangan wang yang berlaku di asrama berkenaan.
“Kejadian tersebut berlaku susulan dua pelajar kehilangan wang berjumlah RM85 dan mangsa dituduh sebagai pencuri lalu dipukul sehingga mati oleh kesemua suspek.
“Setakat ini, 13 orang pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun di kolej berkenaan telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, polis turut mengambil keterangan daripada 12 orang saksi bebas termasuk warden asrama, pengawal keselamatan dan beberapa orang pelajar kolej terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rohan, Mahkamah Majistret Lahad Datu membenarkan kesemua 13 tahanan direman enam hari bermula hari ini sehingga 29 Mac ini.
Selain itu, ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah. Bersama-sama yang ditahan polis merampas 12 buah telefon pintar milik pelajar yang ditahan.
Jelas beliau, pihak polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat milik mangsa bagi mengenal pasti punca kematian sebenar.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pukul 6.50 pagi, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik asrama kolej tersebut.
Pelajar tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberi rawatan kecemasan.