SHAH ALAM: Kerajaan menafikan dakwaan harga petrol dan diesel bakal mengalami kenaikan sebelum Aidilfitri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, fokus kerajaan ketika ini adalah kepada penyediaan bantuan dan sistem sokongan terutamanya pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebelum memikirkan sebarang keputusan melibatkan subsidi petrol dan diesel.
“Tidak betul. Saya rasa kita berterus-terang kepada rakyat bahawa kita mahu letakkan semua bantuan dan sistem sokongan pada tempatnya dulu sebelum apa-apa keputusan mengenai subsidi petrol itu dibuat.
“Mustahil akan ada sebarang keputusan mengenai subsidi petrol dan diesel memandangkan ia terlalu dekat dengan tarikh tutup perlaksanaan PADU iaitu pada 31 Mac ini. Kerana kita perlukan data itu dibersihkan, kita perlu maklumkan kepada orang ramai siapa yang dapat,” katanya kepada pemberita pada Sesi Townhall PADU, hari ini.
Sebelum ini, sebuah firma penyelidikan, Hong Leong Investment Bank (HLIB) dilapor menjangkakan harga RON95 dan diesel akan melonjak dalam masa terdekat.
Menurutnya, pengapungan mengikut harga pasaran bagi RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion.
Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, kerajaan juga mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar itu akan dipertimbangkan daripada suku kedua ke atas.
“Ia kerana apabila kita melihat pada garis masa kita memang perlukan suku pertama iaitu empat hingga lima bulan pertama ini untuk kita menyelesaikan soal sistem sokongan untuk diberikan bantuan kepada orang ramai,” ujarnya.


































