Syaiful Rizal Abdul Ghani menyerahkan sumbangan kepada pelajar tajaan YBR, Norwardina yang kehilangan harta benda disebabkan kebakaran 11 buah rumah di Papar, baru-baru ini.
BONGAWAN: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyantuni pelajar tajaannya yang berdepan dugaan apabila rumah keluarganya di Kampung Laut, di sini, musnah dalam kebakaran pada 4 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, dengan bantuan tersebut membolehkan mangsa, Norwardina, 21, yang turut menerima Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) meneruskan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Bantuan diberi ini tidak mampu membantu mereka sekeluarga sepenuhnya, namun diharap mengurangkan bebanan dengan membeli keperluan dan peralatan persekolahan adik-adik mangsa yang baru memulakan persekolahan pada 11 Mac lalu.
“Pihak kami amat prihatin dengan musibah dihadapi Norwardina dan keluarga yang kini tidak ada apa-apa akibat hangus,” katanya ketika menziarah Norwardina dan menyampaikan sumbangan tunai di Kampung Laut, di sini, hari ini.
Untuk rekod, YBR memperuntukkan RM335,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Norwardina berterima kasih kepada YBR atas sumbangan yang diberi.
“Saya amat bersyukur dengan bantuan ini kerana dapat membantu membeli peralatan persekolahan untuk adik-adik yang masih bersekolah serta meneruskan pengajian yang masih berlangsung,” katanya.