SEPANG (Bernama): Satu mayat yang belum dikenal pasti identiti dan jantina ditemukan di dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini pagi ini.
Mayat itu ditemukan kira-kira 6.55 pagi oleh pekerja kejuruteraan yang ditugaskan membuka ruang simpanan tayar pesawat berkenaan yang tiba dari Tokyo, Jepun, kira-kira 6.30 pagi.
Bernama difahamkan pekerja terbabit terhidu bau busuk sebelum membuka ruang itu dan menemukan mayat berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA Terminal 2.
Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian ke lokasi penemuan bagi menjalankan siasatan dan mendapati mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an serta telah meninggal dunia lebih 72 jam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA ACP M. Ravi dalam satu kenyataan berkata pihaknya melalui Balai Polis KLIA 2 menerima maklumat pertama mengenai penemuan mayat daripada pusat kawalan operasi lapangan pada 7 pagi hari ini.
Beliau berkata hasil daripada pemeriksaan tempat simpanan tayar sebelah kanan pesawat telah menjumpai mayat lelaki dalam keadaan meniarap.
“Hasil pemeriksaan badan si mati tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri dan badan si mati dalam keadaan decomposed (mereput),” katanya.
Beliau berkata umur si mati lingkungan 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal selain mangsa memakai pakaian hoodie (baju hud) warna putih, tertera gambar naga pada bahagian belakang dan bertulis ‘oakley’ pada bahagian hadapan.
“Si mati memakai seluar jeans warna biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, berstokin dan berkasut sukan berwarna hitam.
“Tiada sebarang kecederaan pada badan si mati. Mayat telah dibawa ke jabatan forensik sebuah hospital untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR) dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan berita tidak benar.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA menerusi talian 03-877 6822 — BERNAMA
































