Infografik laluan penutupan jalan.
KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan penguatkuasa susulan penutupan beberapa jalan utama sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) 2026.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, penutupan itu bertujuan memastikan keselamatan pengunjung dan kelancaran trafik sempena sambutan HKHS 2026 di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, pada 31 Ogos ini.
“Antara jalan-jalan yang ditutup kekal sepanjang tempoh Sambutan HKHS adalah laluan dari susur keluar Sutera harbour menuju ke susur masuk Jalan Mentari (ke Imago) ditutup satu lorong, Jalan Mentari, Bulatan Millenium ke Jalan Tun Fuad Stephens, lampu isyarat Skybridge.
“Selain itu, laluan dari arah lampu isyarat 20 menuju ke lintas hormat, laluan susur masuk Api-Api Centre ke lampu isyarat Skybridge dan susur keluar lorong Api-Api ke lampu isyarat Skybridge.
“Manakala jalan yang ditutup secara berkala adalah susur Jalan Centre Point menuju ke Api-Api Centre, lorong tengah Api-Api Centre dan laluan ke bangunan MAA Api-Api Centre.
“Penutupan jalan semasa raptai sambutan Hari Kebangsan bermula 27 sehingga 29 Ogos dari jam 5.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan acara sebenar iaitu 31 Ogos dari jam 5.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
“Penutupan jalan semasa raptai sambutan Hari Sabah pula bermula 26 sehingga 29 Ogos dari jam 7 malam hingga 11 malam dan semasa acara sebenar 31 Ogos, bermula dari 1.00 tengah hari hingga 11.00 malam,” katanya semasa program temubual dalam segmen ‘Sembang Ekspresi’ di konti SABAHfm kendalian DJ Darlynn, di sini, pada Rabu.
Menurut Shahrudin, bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan HKHS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merancang pelan strategi dan kawalan lalu lintas, termasuk penutupan laluan sementara serta penempatan anggota bertugas di laluan kritikal.
Katanya, langkah itu bertujuan memudahkan pergerakan kenderaan awam keluar dan masuk ke pusat bandar.
“Seramai 405 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang raptai dan acara sebenar HKHS bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik.
“Kawalan keselamatan juga tidak ketinggalan iaitu menjaga keselamatan orang-orang kenamaan serta orang ramai yang akan hadir pada program ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrudin berharap orang ramai merancang perjalanan dengan baik serta mendapatkan maklumat tepat daripada PDRM, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan status kesesakan lalu lintas.
Beliau turut menggalakkan orang ramai hadir lebih awal ke lokasi sambutan dan mempertimbangkan alternatif seperti berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam seperti bas.
Hadir sama, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Trafik, IPD Kota Kinabalu, DSP Khazrul Shah Annuar Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio, Aritika Matbee, Pengurus SABAHfm, Baharullah Baba dan Penolong Pengurus SABAHfm, Nursuhaila Sabrina Ba’as.
































