SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat koperal dilaporkan maut akibat dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki dalam satu kejadian dekat sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Sungai Buloh, awal pagi tadi.
Anggota berusia 34 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sejurus kejadian yang berlaku kira-kira pukul tiga pagi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis masih menyiasat kejadian tersebut dan sedang mengesan sekumpulan lelaki dipercayai terlibat.
Kes itu masih dalam sesiatan, anggota itu masih berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kita masih menunggu keputusan bedah siasat.
“Kita sedang menjejaki kumpulan lelaki dipercayai berada di tempat kejadian yang berkemungkinan menyebabkan kematian,” katanya, hari ini.
Jelasnya, proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
Dalam pada itu, difahamkan mayat mangsa akan diterbangkan ke kampung halaman di Kuching, Sarawak, selepas selesai bedah siasat.


































