PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas pelaksanaan Program Servis Ihsan MADANI (SIM) sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026 bagi membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan rakyat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI yang diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup.
“Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026, KPDN turut memperluas Program Servis Ihsan MADANI (SIM), salah satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI yang bertujuan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, SIM mula diperkenalkan pada 2025 menerusi kerjasama KPDN dengan PETRONAS AutoExpert, manakala tahun ini program itu diperluas dengan penyertaan Perodua dan Proton.
Katanya, peluasan berkenaan bukan sahaja memperkasa rangkaian penyedia perkhidmatan, malah membolehkan lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Di bawah pelaksanaan SIM 2026 sempena Bulan Kebangsaan 2026, subsidi sebanyak RM70 ditawarkan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan di pusat servis Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert yang mengambil bahagian, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya.
Armizan berkata, program itu melibatkan keseluruhan 531 pusat servis dan bengkel di seluruh negara, terdiri daripada 221 pusat servis Perodua, 186 pusat servis Proton dan 124 bengkel PETRONAS AutoExpert.
Menurutnya, pengguna yang ingin mendapatkan manfaat tawaran itu boleh membuat tempahan menerusi aplikasi yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan masing-masing.
“Bagi Perodua, tempahan boleh dibuat menerusi aplikasi UFirst Perodua Passport, Proton Link 2.0 bagi Proton dan Setel bagi PETRONAS AutoExpert,” katanya.
Beliau berkata, peluasan Program SIM merupakan antara ikhtiar KPDN bersama rakan strategik industri dalam menterjemahkan semangat “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” melalui inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Selain membantu mengurangkan sebahagian kos penyelenggaraan kenderaan, katanya, program itu juga diharapkan dapat menggalakkan pemilik kenderaan melakukan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN menghargai komitmen Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert dalam menjayakan Program SIM 2026.
“Kerjasama Kerajaan dan industri seperti ini akan terus diperkasakan bagi memperluaskan manfaat kepada rakyat serta melengkapi ikhtiar Kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan SIM merupakan antara pengisian sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2026) peringkat KPDN yang memaknai tema Bulan Kebangsaan 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.”
Katanya, tema itu membawa aspirasi supaya kemajuan dan pembangunan negara diterjemahkan kepada kesejahteraan yang dapat dirasai dan dinikmati seluruh rakyat, selain menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan kepada tanah air.
Antara pengisian HKHM KPDN 2026 ialah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Bulan Kebangsaan, Pertandingan Eksplorasi Rona Batik, Cabaran Patriotik: Aku Kasih Malaysia dan Pertandingan Keceriaan Pejabat HKHM 2026.
Selain inisiatif di peringkat kementerian, rakan strategik KPDN turut menawarkan manfaat istimewa kepada rakyat sempena HKHM 2026.
Antaranya, TikTok Shop Malaysia akan menggerakkan inisiatif Jualan Ihsan RAHMAH 9.9 secara dalam talian pada 9 September 2026, dengan menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan terpilih.
































