Fahmi Fadzil
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya boleh menyahaktifkan mana-mana akaun yang dikesan mempromosikan judi atas talian.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini, belum ada peruntukan undang-undang terhadap individu yang melakukan kesalahan itu.
Beliau berkata, sebarang tindakan terhadap pengguna (pemilik akaun media sosial) akan dibuat berpandukan undang-undang sedia ada dan yang paling efektif adalah penyahaktifan akaun mereka.
“Pagi tadi saya lihat sendiri posting (hantaran di Facebook) individu yang berkongsi promosi judi itu. Sama ada benar atau akaun palsu itu tidak pasti tapi ia dikesan berlaku juga di Instagram dan TikTok.
“Saya minta MCMC memperluas usaha bagi mengenal pasti pihak yang membuat sebaran dan mematahkan serta menyahaktif akaun itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran E-Farmasi: Penyelesaian Digital untuk Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Seterusnya di Universiti Mutimedia di sini, kelmarin.
Katanya, beliau turut memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya mematuhi garis panduan komuniti ditetapkan oleh mana-mana aplikasi media sosial.
Fahmi berkata, menyalahgunakan platform aplikasi media sosial untuk melakukan aktiviti terlarang atau melanggar undang-undang dalam negara boleh menyebabkan akaun mereka terjejas.
“Jadi, saya sarankan janganlah kerana inginkan sedikit wang atau habuan maka menjejaskan penggunaan platform-platform ini.
“MCMC boleh mengenakan sekatan yang drastik terutama terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak dibenarkan seperti judi dalam talian,” katanya.


































