Ramli Mohamed Yoosuf
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi terbaharu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long) yang menukar hak milik kereta peminjam kepada sindiket selepas serbuan di Sungai Besi, dekat sini pada 11 Mac lalu.
Dalam serbuan di sebuah premis di pejabat di Sungai Besi dekat sini, seramai 14 individu warga tempatan terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita ditahan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket tersebut beroperasi di bawah sebuah syarikat yang dipercayai menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan mempromosikan aktiviti tersebut melalui Facebook.
Menurut beliau, untuk mendapatkan pinjaman, peminjam dikehendaki menyerahkan kenderaan mereka kepada syarikat terbabit sebagai jaminan.
“Proses ini memerlukan pelanggan membayar yuran tambahan seperti bayaran penukaran hak milik kenderaan dan pemasangan peralatan sistem kedudukan global (GPS).
“Sebelum menerima wang pinjaman, peminjam juga perlu menandatangani surat persetujuan penjualan kenderaan dan perjanjian sewaan.
“Sekiranya pinjaman gagal dilunaskan, pemilikan kenderaan akan ditukar kepada syarikat milik sindiket tanpa pengetahuan peminjam,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, kegiatan tersebut terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa apabila kereta Toyota Vellfire miliknya ditukar hak milik selepas membuat pinjaman daripada sindiket terbabit.
Jelas beliau, mangsa membuat pinjaman RM20,000 namun hanya menerima jumlah wang kira-kira RM16,000 daripada sindiket selain keretanya ditukar hak milik.
“Dalam serbuan itu, kita merampas sembilan unit laptop, 11 unit telefon bimbit, tujuh set dokumen perjanjian pelanggan beserta anak kunci dan satu set dokumen pelanggan serta tiga cop syarikat.
“Kesemua tangkapan ditahan reman sehingga hari ini bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya.


































