Tangkap layar video juruterbang membantu Brent yang terperangkap dalam tandas pesawat Delta Air Lines.
NEW YORK: Seorang lelaki berdepan pengalaman ngeri terperangkap di dalam tandas lebih setengah jam ketika menaiki penerbangan ke sebuah bandar di Amerika Syarikat (AS) hingga terpaksa diselamatkan oleh juruterbang pesawat tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian itu berlaku dalam penerbangan Delta Air Lines dari Salt Lake City ke New Orleans ketika lelaki hanya dikenali sebagai Brent bangun ke tandas dan meninggalkan isterinya menjaga anak-anak mereka.
Selepas lebih 35 minit berlalu, isterinya mula resah dan awalnya menganggap suaminya itu sengaja mencuri masa berehat daripada mengawal anak-anak kecil mereka berusia dua dan empat tahun yang enggan ‘duduk diam’ dalam pesawat itu.
Tidak lama kemudian wanita itu mendengar dua pramugari bercakap sesama mereka menyebut ada orang terperangkap di dalam tandas pesawat dan menyedari individu itu adalah suaminya.
“Saya mendengar seorang pramugari menyebut perkataan ‘terperangkap’. Mereka memberitahu pintu tersekat dan seseorang terkunci dari dalam.
“Saya tahu itu suami saya! Dua pramugari itu cuba menarik pemegang pintu tetapi tidak berjaya. Mereka kemudian meminta bantuan seorang penumpang lelaki namun pintu masih tidak dapat dibuka,” kata wanita itu di laman Reddit.
Dalam kekecohan itu, juruterbang pesawat muncul dan membantu sehingga pintu tandas tersebut dapat ditarik dan Brent berjaya keluar.
“Juruterbang itu datang menyelamatkan keadaan dengan menarik pintu sekuat mungkin sementara Brent segera menendang dari dalam hingga pintu itu terbuka.
“Kehadirannya membuatkan saya dan penumpang lain tertanya-tanya siapa yang menerbangkan pesawat ketika itu.
“Mujurlah tiada apa yang berlaku selepas itu dan suami juga selamat keluar. Tidak dapat dibayangkan jika anak kecil saya atau warga emas yang terperangkap ketika itu. Pasti keadaan lebih buruk,” katanya.
Wanita itu kemudian memberitahu dia memuat naik video kejadian itu yang dirakam seorang lagi penumpang walaupun diminta tidak berbuat demikian kerana berang gagal mendapat sebarang pampasan daripada Delta Air Lines ekoran insiden tersebut.
































