Koleksi kereta miniatur jenama Ferrari dihasilkan syarikat Amalgam.
LONDON: Syarikat yang berpangkalan di United Kingdom (UK) menghasilkan pelbagai model miniatur kereta sport ikonik dengan perincian paling lengkap di dunia seperti kereta sebenar.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, syarikat Amalgam yang ditubuhkan pada 1995 di Bristol, United Kingdom (UK) mempunyai hubungan rapat dengan pengeluar kereta terkemuka seperti Ferrari, Lamborghini dan Aston Martin.
Usahasama itu memudahkan syarikat berkenaan memperoleh akses kepada data asal dan lukisan kejuruteraan kenderaan, kod cat serta sampel warna kenderaan berkenaan.
Amalgam juga menggunakan foto resolusi tinggi dan imbasan digital untuk mencipta semula setiap kenderaan dengan sempurna.
Syarikat tersebut mengambil masa antara 250 hingga 450 jam kerja yang teliti untuk menyiapkan sebuah miniatur dengan harga yang ditawarkan juga seperti kereta sebenar sehingga mencecah AS$30,000 (RM142,860).
Amalgam baru-baru ini mengumumkan akan menambah ikon Lamborghini Countach LP400 dan Lamborghini Revuelto untuk koleksi miniaturnya.
Kereta miniatur Lamborghini Countach LP400 akan dibangunkan dengan inspirasi asalnya iaitu V12 dan ia boleh dimiliki pada harga AS$18,700 (RM89,049).
“Kami akan mencipta model yang hebat dan terperinci dengan membina setiap aspek spesifikasi kereta anda. Selain itu, kami juga akan menyiapkan model dengan warna cat yang tepat dan kemasan dalaman.
“Malah, butiran terkecil termasuk warna jahitan pada tempat duduk, plat lesen, roda dan setiap aspek boleh dilihat pada kereta anda yang akan dihasilkan semula dengan sempurna,” jelas syarikat itu.
Menurut laman web Amalgam, model miniatur paling mahal adalah dua kenderaan Mercedes Formula 1 iaitu masing-masing berharga AS$41,145 (RM195,932).


































