Mesyuarat Jawatankuasa Road To Gold (RTG) hari ini turut akan membincangkan kedudukan Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam program ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu.
PETALING JAYA: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) bakal menjadi tumpuan warga sukan tempatan pada hari ini apabila mereka bakal bersidang bagi menentukan atlet yang bakal digugurkan ataupun akan ada atlet baharu disenaraikan dalam program elit sukan negara itu.
Antaranya adalah membabitkan dua atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas beraksi hambar ketika Kejohanan Akuatik Dunia di Doha pada awal bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, ia bukan sahaja membawa satu tamparan buat kem negara memandangkan buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun, tiada penerjun wanita akan tampil di Sukan Olimpik, malah kegagalan itu turut memberi kesan kepada harapan kem Malaysia memandangkan terjun sering menjadi prospek pingat buat negara sejak edisi 2008 di Beijing.
Begitupun Pandelela dan Dhabitah telah pun menyatakan bahawa mereka sedia menerima apa jua keputusan yang bakal diputuskan Jawatankuasa RTG hari ini dengan hati yang terbuka.
Selain itu, keputusan sama ada Jawatankuasa RTG bakal menyenaraikan beberapa lagi atlet baharu ke dalam program itu turut akan menjadi perhatian.
Beberapa nama seperti Bertrand Rhodict Lises dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri antara yang calon kini sedang dilobi untuk dimasukkan ke dalam program tersebut, biarpun Jawatankuasa RTG telah menetapkan kriteria yang amat tinggi untuk disenarai ke dalam program berkenaan.
Kali terakhir Mesyuarat Jawatankuasa RTG bersidang pada Oktober lalu bagi membincangkan tentang status atlet dalam program itu menyaksikan dua pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai serta skuad hoki lelaki negara digugurkan selepas mengalami penurunan prestasi dan ranking dunia.
https://www.utusan.com.my/premium/2024/02/nasib-pandelela-dhabitah-hari-ini/


































