PUTRAJAYA: Kerajaan ketika ini tidak berhasrat mengenakan levi bahan api penerbangan mampan (SAF) ke atas penumpang seperti yang bakal dilaksanakan Singapura pada 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, industri penerbangan tempatan turut menyokong inisiatif pelepasan karbon namun, tiada ketetapan diberikan kepada syarikat penerbangan untuk melaksanakan levi itu ketika ini.
Beliau berkata, kementeriannya sudah mencapai persetujuan bagi membenarkan syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan bagi SAF tetapi ia bukan satu kewajipan.
“Bagaimanapun, jika ada caj sekali pun ia adalah minimal dan tidak membebankan penumpang,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sua Kasih Madani Kementerian Pengangkutan di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada Malaysia akan melaksanakan inisiatif sama seperti Singapura.
Katanya, caj tambahan itu belum lagi dilaksanakan ketika ini kerana ia perlu melalui pindaan mengikut Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Kod Tatakelakuan) 2018 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Loke berkata, jika ia dilaksana kelak, kos yang bakal dikenakan adalah minima dan tidak membebankan penumpang.
Namun, katanya, pada masa sama industri penerbangan tempatan juga tidak terkecuali untuk mematuhi tanggungjawab pelepasan karbon itu.
“Caj dan levi terlalu banyak ke atas penumpang dikhuatiri akan menjejaskan industri penerbangan dan pertumbuhan ekonomi justeru, ia perlu seimbang,” katanya.
Sebelum ini, Singapura bercadang syarikat penerbangan yang berlepas dari negara itu menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) mulai 2026 sebagai sebahagian daripada rancangan industri untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat dilaporkan berkata, pihak berkuasa akan memperkenalkan levi ke atas tiket untuk membantu mengurangkan kos bahan api tersebut
Menurutnya, industri penerbangan melepaskan kira-kira dua hingga tiga peratus karbon dioksida global dan ia merupakan satu perkara yang sukar untuk dinyahkarbon.


































