Mayat anggota bomba yang terjatuh dan hilang ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) dijumpai pukul 5.32 petang selepas 19 jam operasi SAR dilancarkan di Sungai Perai berhampiran Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang.
BUTTERWORTH : Mayat anggota bomba yang terjatuh ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di Sungai Perai berhampiran Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di sini, akhirnya dijumpai selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, mayat Mohd Izwan Illias, 42, ditemukan kira-kira pukul 5.32 petang kelmarin.
Katanya, selepas operasi SAR dimulakan sekitar 10.20 malam Khamis, mangsa kemudian berjaya dijumpai dalam radius 20 meter iaitu berhampiran lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Penemuan ini juga saya dapat rungkaikan hasil daripada operasi strategik yang telah kita laksanakan, iaitu kita membaca pada pergerakan arus dan daripada situ, kita kecilkan skop pencarian daripada satu kilometer ke hilir dan 500 meter ke hulu kepada radius 100 meter ke hulu dan 300 meter ke hilir.
“Ini berikutan anjing pengesan yang kita bawa daripada Unit K9 di peringkat awal telah menunjukkan tanda-tanda pengesanan dalam radius hanya 50 meter daripada lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Tambahnya, mayat mangsa dikesan pada 5.30 petang oleh salah seorang anggota pasukan penyelamat yang kemudiannya disahkan sebagai Mohd Izwan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital untuk proses selanjutnya.
“Arwah diklasifikasikan sebagai terkorban ketika menjalankan tugas rasmi. Justeru, satu majlis istiadat penghormatan terakhir akan kita dilaksanakan di Kampung Pekan Darat, malam ini sebagai tanda terima kasih di atas komitmen dan pengorbanan arwah khususnya terhadap JBPM,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berterima kasih di atas komitmen semua pihak semasa operasi berlangsung.
“Secara keseluruhannya, seramai 160 keanggotaan terdiri daripada 140 bomba termasuk sembilan anggota dari Perak dan 13 Kedah terlibat dalam operasi ini.
“Selain bomba, operasi turut dibantu oleh 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk 20 anggota marin dan trafik,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, pihaknya akan melihat keperluan dan kebajikan balu serta lima anak mangsa yang berusia antara empat sehingga 16 tahun untuk dibantu.
“Apabila hidup dalam pasukan bomba, risiko luar jangka memang tidak dapat dielakkan. Namun, apa yang paling penting ialah, kita akan lihat isu kebajikan keluarga ini. Pertamanya, kita akan koordinasi dengan kerajaan negeri dan melihat dalam ‘payung’ kebajikan bomba,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman,77, bersyukur kerana jasad anaknya ketiganya itu akhirnya berjaya ditemukan dan berlapang dada dengan ujian Allah SWT.
“Kami sekeluarga reda dan sudah takdir anak pakcik kembali ke sisi pencipta-Nya. Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus berusaha mencari anak pakcik,” katanya.


































