Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama Ketua-ketua Daerah dan Ketua-ketua Anak Negeri.
KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mahu semua rekod-rekod Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan rekod keputusan perbicaraan dapat dibukukan dan dijadikan sebagai Jurnal Undang-undang Anak Negeri.
Jika dilihat sumber undang-undang di Mahkamah Anak Negeri adalah sangat terhad dan tidak banyak yang dibukukan, katanya.
“Ada baiknya sekiranya keputusan-keputusan Mahkamah yang terdahulu dapat direkodkan dan disimpan dengan rapi untuk tujuan rujukan kepada kes-kes yang akan datang.

Dr. Joachim (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta kursus seramai 53 orang, iaitu Ketua Daerah Keningau, OKK Ramanus Michael @ Sogunting sambil disaksikan oleh Dr. Jamili (kiri) dan Majaran.
“Ini sudah semestinya dapat membantu mahkamah atasan sekiranya terdapat kes rayuan daripada Mahkamah Anak Negeri.
“Seterusnya, kajian dan penyelidikan juga perlu dilaksanakan dengan lebih terancang untuk memastikan silibus-silibus yang disediakan sesuai dengan amalan dan adat resam Anak Negeri Sabah,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Tatacara Perbicaraan dan Penulisan Penghakiman bagi semua Ketua-ketua Daerah negeri Sabah di Hotel Perkasa, di sini, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong setiap aspirasi dan dasar-dasar yang berkaitan Anak Negeri dalam memperkasa institusi kehakiman Anak Negeri untuk membawa Mahkamah Anak Negeri sebagai tonggak sistem kehakiman di Malaysia.
Katanya, penganjuran kursus sebegini amat digalakkan sebagaimana yang disarankan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap kursus yang dilaksana memberikan nilai tambah dan impak positif kepada perkhidmatan Ketua-ketua Daerah secara keseluruhannya.
Melihat semula kepada inisiatif Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri khususnya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) yang bertanggungjawab memberikan latihan kepada ketua-ketua adat, kursus seperti ini adalah siginifkan dalam membantu Ketua-ketua Daerah meningkatkan kualiti kepimpinan mereka yang mana penekanan elemen-elemen penting dalam konteks Sistem Kehakiman Anak Negeri perlulah dititik beratkan.
“Peranan Ketua-ketua Daerah ibarat “Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan.” Hal ini bermaksud, maju atau mundurnya pentadbiran sesebuah institusi bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai kompetensi dan kemahiran insaniah seseorang ketua daerah selaku tenaga penggerak dalam memperkasa komunitinya secara komprehensif.
“Oleh yang demikian, Ketua-ketua Daerah haruslah memainkan peranan yang jitu untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapatkan perkhidmatan yang terbaik,” kata Dr. Joachim.
Melihat kepada perkembangan perundangan Anak Negeri di Sabah, beliau mengingatkan Ketua-Ketua Adat untuk sentiasa memartabatkan dan memperkasakan Mahkamah Anak Negeri, sebuah institusi pengadilan yang terawal dan yang tertua di negeri Sabah, agar ianya setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
“Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini sekali lagi untuk menyeru semua pemimpin-pemimpin adat dan agensi pelaksana yang berkaitan serta semua lapisan masyarakat agar terus memperkasa dan memelihara budaya, adat resam dan warisan anak negeri yang kita miliki ini dengan sebaik-baiknya.
“Ia merupakan khazanah Negeri yang tidak ternilai harganya yang akan diwarisi oleh generasi yang akan datang agar budaya adat resam anak negeri sentiasa utuh,”katanya.
Sebagai pengemudi dan pengerak kepada perkembangan Institusi Anak Negeri, beliau juga menyeru agar Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam memastikan pentadbiran Anak Negeri ditadbir dengan lebih cekap demi memupuk tenaga kerja yang dinamik, mampan dan berdaya tahan.
Mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana telah berjaya mengikuti kursus ini dengan tekun dan bersemangat, beliau berharap agar setiap Ketua-ketua Daerah memperkasa dan memelihara warisan dan undang-undang adat Anak Negeri supaya legasi dan warisan adat Anak Negeri sentiasa dihormati dan disegani agar tidak luput ditelan zaman.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Tindarama Dr. Benedict Topin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Majaran Osman; Pegawai Daerah Keningau, Peter Jonu; Ketua Polis Daerah Keningau, Yampil Anak Garai dan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) kawasan Bingkor, Tinus Majip.


































