Operasi penjaja tanpa lesen di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU: Dua orang penjaja dikenakan kompaun kerana menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen semasa operasi penjaja tanpa lesen oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di kawasan tempat letak kereta sekitar Kompleks Sukan Likas di sini malam tadi.
Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, tindakan tersebut dikenakan terhadap mereka di bawah Undang-Undang Kecil (Penjaja) (Pindaan) 2008 Bandaraya Kota Kinabalu.
Beliau berkata, operasi yang yang melibatkan seramai 12 anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan (4 orang) dan Jabatan Penguatkuasaan (8 orang) itu bermula jam 9 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam.
“Ia bertujuan untuk membuat pemeriksaan dan membanteras penjaja haram di bandaraya Kota Kinabalu yang mana operasi kali ini tertumpu di kawasan tempat letak kereta sekitar Kompleks Sukan Likas, Jalan Kompleks Sukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati orang awam untuk mematuhi peraturan-peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Kerajaan dan untuk hal ini, orang awam yang ingin menjaja bolehlah mendapatkan lesen menjaja yang sah dari Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan yang berkaitan.
“Pemantauan berterusan dari masa ke semasa akan dijalankan agar aktiviti menjaja tanpa lesen di kawasan tersebut tidak berulang,” tegasnya.


































