Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Kerajaan yakin negara dapat mencapai pertumbuhan ekonomi lebih kukuh antara 4 hingga 5 peratus pada tahun ini.
Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.7 peratus pada 2023, selepas berkembang sebanyak 3.0 peratus pada suku keempat tahun lepas, disokong oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih.
Pertumbuhan sederhana dalam persekitaran luaran yang mencabar pada tahun lepas, berikutan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 8.7 peratus dicatatkan pada 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim berkata, keyakinan itu berdasarkan atas asas kukuh dan pembaharuan yang dipetakan dalam Ekonomi Madani dan Belanjawan 2024.
“Kerajaan berazam untuk mengecilkan lagi defisit fiskal kepada 4.3 peratus tahun ini, selaras dengan komitmen dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
“Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 5 peratus pada 2023 daripada 5.6 peratus pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rangka kerja Ekonomi Madani menggariskan kepentingan pembaharuan ekonomi negara bukan sahaja dalam menangani cabaran sistemik, tetapi turut memberi tumpuan kepada bidang baharu pertumbuhan mampan dan daya tahan.
Katanya, Belanjawan 2024 menekankan komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan rasionalisasi subsidi.
“Penjimatan daripada langkah ini akan disalurkan kepada komuniti rentan dan rakyat berdasarkan keperluan, serta meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan awam.
“Selain itu, strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas bertujuan untuk memacu pelaburan berkualiti dalam industri bernilai tambah tinggi.
“Ini terutamanya dalam peralihan tenaga, digital dan industri teknologi tinggi yang akhirnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat,” katanya.


































