Dr. Maximus bersama Pairin, Dr. Joachim, Dr. Yee, Jahid dan para pemimpin kanan PBS memotong kek ulang tahun ke-41 parti.
KOTA KINABALU: Baton kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) kini secara rasmi berada di tangan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam sebagai Presiden parti bagi penggal 2026-2029, kata bekas Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.
Dr. Maximus berkata, penyerahan baton kepimpinan merupakan sebahagian daripada perjalanan sesebuah parti, di mana satu generasi memimpin, generasi berikutnya membuat persediaan dan akhirnya generasi seterusnya mengambil alih.
“Dr. Joachim, sahabat saya, baton itu kini berada di tangan kamu. Bawalah ia ke hadapan dengan penuh keberanian.
“Kepada semua anggota PBS, berikan kepimpinan baharu semangat komitmen, kesetiaan dan khidmat yang sama seperti yang kamu berikan kepada parti sepanjang sejarahnya,” katanya ketika menyampaikan Amanat Khas pada Majlis Makan Malam Bersatu sempena Persidangan Tahunan PBS kali ke-41 di Dewan Hakka, di sini, malam tadi.
Dr. Maximus berkata, beliau menerima baton daripada Penasihat Perdana dan Pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 2018 selepas Pairin memimpin parti itu selama 33 tahun.
Beliau secara rasmi menjadi Presiden PBS pada 17 November 2018 dan memimpin parti itu selama enam tahun sebelum menyerahkan tugas dan tanggungjawab jawatan presiden kepada Joachim pada 2024, yang kemudiannya menjalankan peranan sebagai Pemangku Presiden.
“Dan hari ini, selepas pemilihan parti yang terkini, baton itu secara rasmi berada di tangan beliau sebagai Presiden PBS bagi penggal 2026-2029,” katanya.
Dr. Maximus berkata, ketika menerima baton daripada Pairin pada 2018, beliau berasa bangga namun pada masa sama menyedari tanggungjawab besar yang dipikul.
“Apabila seseorang menyerahkan baton kepada kamu, kamu bukan menerimanya sekadar untuk memegangnya. Kamu menerimanya untuk membawanya ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata, selepas enam tahun memimpin PBS, beliau menyedari bahawa baton itu bukan miliknya secara peribadi, sebaliknya milik parti, generasi terdahulu yang membina PBS, anggota yang terus berdiri bersama parti ketika senang dan susah serta generasi yang akan datang.
Dr. Maximus berkata, PBS tidak pernah berkisar mengenai seorang individu, sebaliknya parti itu lahir daripada keyakinan bahawa suara rakyat Sabah mesti didengar, selain berpegang kepada perpaduan, politik berbilang kaum dan integriti dalam perjuangan politik.
“Yang paling penting, keyakinan bahawa hak dan kepentingan Sabah mesti sentiasa dihormati, dipelihara dan diperjuangkan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau diberi amanah berkhidmat kepada Sabah dalam pelbagai kapasiti, bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Menteri Persekutuan dan kemudiannya Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.
“Namun, apa pun jawatan yang saya sandang, satu perkara tidak pernah berubah, Sabah sentiasa di hati saya,” katanya.
Mengenai perjuangan Sabah, Dr. Maximus berkata, isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak perlembagaan, pembangunan, identiti dan kedudukan Sabah dalam Malaysia bukan isu yang menjadi milik seorang pemimpin atau satu generasi sahaja.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama. Ada kemenangan. Ada juga kekecewaan. Ada ketika kita mungkin merasa terkilan. Ada masa jalan di hadapan sukar.
“Tetapi saya sentiasa percaya perjuangan tidak boleh berhenti hanya kerana jalannya sukar. Kita mesti terus bersuara. Kita mesti terus berunding. Dan kita mesti terus menyampaikan pendirian kita berlandaskan ilmu, fakta, keberanian dan maruah,” katanya.
Dr. Maximus turut mengingatkan PBS supaya tidak terperangkap dalam sejarahnya sendiri ketika memasuki bab baharu kepimpinan.
“Parti tidak boleh hidup pada masa lalu. Kita mesti menghormati sejarah kita, tetapi kita tidak boleh terperangkap dengannya.
“Sabah pada masa depan bukan Sabah pada 1985. Ia bukan Sabah pada 2018. Dan tentunya bukan Sabah pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, generasi muda mempunyai aspirasi berbeza, hidup dalam dunia yang berbeza dan menggunakan bahasa politik yang berbeza, justeru PBS perlu berani memahami mereka.
Kepada generasi muda PBS, Dr. Maximus berkata, mereka tidak perlu takut untuk tampil ke hadapan dengan idea, tenaga dan keberanian, namun pada masa sama tidak melupakan akar perjuangan parti.
“Kenali mengapa PBS ditubuhkan. Fahami perjuangan yang kita lalui dan hargai pengorbanan mereka yang datang sebelum kita, kerana kepimpinan bukan sekadar menduduki kerusi atau memegang jawatan. Kepimpinan adalah tentang berkhidmat,” katanya.
Dr. Maximus berkata, dua huruf “YB” tidak sepatutnya hanya membawa makna Yang Berhormat, Yang Berkuasa atau Yang Berada, sebaliknya “Yang Berkhidmat”.
“Itulah yang sepatutnya dimaksudkan dengan khidmat awam dan itulah yang saya harap PBS akan terus perjuangkan,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan PBS tidak pernah bergantung kepada seorang individu, sebaliknya terletak pada rakyatnya, prinsip parti dan kepercayaan bahawa Sabah berhak didengari.
“Selepas bertahun-tahun ini, saya hanya mempunyai satu pesanan terakhir untuk kamu semua, jangan berhenti berjuang. Jangan berhenti berkhidmat. Jangan berhenti percaya kepada Sabah.
“Jangan takut kepada perubahan dan jangan sesekali lupa dari mana kita datang,” katanya.
Dr. Maximus berkata, walaupun sudah menyerahkan baton kepimpinan, perjalanan beliau bersama PBS tidak berakhir di situ.
“Parti Bersatu Sabah kekal menjadi sebahagian daripada hidup saya dan Sabah akan sentiasa berada di hati saya. Apa jua bab yang akan datang, saya akan sentiasa bersyukur kerana mendapat keistimewaan untuk melalui perjalanan ini bersama kamu semua,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan, persahabatan dan sokongan anggota PBS sepanjang perjalanan parti itu.
“Sekarang, ambillah baton itu. Bawanya dengan penuh bangga dan teruskan perjalanan ini. Bersatu dan terus berkhidmat untuk rakyat, untuk Sabah dan untuk generasi yang akan datang,” katanya.
Dr. Maximus berkata, PBS kini sudah melangkah ke dekad kelima dan berharap 40 tahun akan datang terus membawa kejayaan serta menjadi legasi yang dapat diteruskan oleh generasi seterusnya.
Beliau kemudian mengakhiri amanatnya dengan laungan “Bersatu” sebanyak tiga kali.
Majlis itu turut dihadiri Pairin, Dr. Joachim, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Datuk Seri Jahid Jahim, Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, Naib-Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Bahagian serta Ketua Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS.
































