NAGOYA (Bernama): Skuad sepak takraw negara mencipta detik manis menamatkan penantian selama 36 tahun, untuk kembali meraih pingat emas acara regu berpasukan lelaki setelah menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Sejarah dilakar di Paloma Mizuho Arena itu menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian sama pernah diraih pada Sukan Asia 1990 di Beijing, yang turut menyaksikan skuad negara menewaskan musuh tradisi itu.
Percaturan meletakkan regu utama Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias untuk meraih kelebihan awal membuahkan hasil, apabila berjaya memperoleh mata menerusi kemenangan 15-9, 5-15, 15-11 menewaskan Marukin Phanmakon, Phutawan Sopa dan Pornthep Tinbangbon.
Kemenangan itu terus menyuntik semangat regu kedua negara dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi.
Trio itu mudah memastikan kemenangan selepas menundukkan regu Thailand, Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor 15-13, 15-10.
Kejayaan diraih kem sepak takraw itu dalam masa sama menghadiahkan Malaysia pingat emas keempat negara pada temasya itu. — BERNAMA
































