PAPAR (Bernama): Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada tahun ini memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni sebagai Sekolah Angkat MADANI.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata dengan pemilihan itu, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk menaik taraf Bengkel Sains Rumah Tangga dan Bengkel Rekaan Jahitan Pakaian kerana SMK Benoni ialah satu-satunya sekolah yang menawarkan mata pelajaran Rekaan Jahitan Pakaian di Sabah.
“Selain peruntukan tersebut, SMK Benoni turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada agensi KPDN dan syarikat swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata sumbangan itu meliputi pembinaan dewan serba guna, kelengkapan bilik darjah dan alat bantu mengajar, sokongan kepada program kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah, serta bantuan kewangan kepada murid asnaf, fakir miskin dan yatim piatu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi KPDN, syarikat swasta dan pihak yang telah menyumbang serta warga SMK Benoni, yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
“Program itu amat bermakna dalam memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh murid dan seluruh komuniti sekolah,” katanya.
Pada tahun lepas Sekolah Kebangsaan Tikam Batu, di Sungai Petani, di Kedah, telah dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI.
Sekolah Angkat MADANI ialah inisiatif yang diperkenalkan pada tahun lepas, antaranya bertujuan memperkasakan pendidikan secara menyeluruh melalui kerjasama kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta serta masyarakat.
Inisiatif berkenaan menumpukan kepada pembangunan sosial, pemerkasaan komuniti sekolah, pembangunan sahsiah dan kemahiran murid.
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan program ini, dengan RM100,000 diperuntukkan kepada setiap kementerian untuk melaksanakan program dan projek di sekolah terpilih. — BERNAMA
































