KOTA KINABALU: Lapan syarikat perindustrian yang menyertai Program Kerjaya Industri Sabah 2026 (KIS 2026) menawarkan sehingga 250 kekosongan pelbagai jawatan dalam sektor perindustrian, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu menyeru golongan belia, khususnya graduan dan mereka yang sedang mencari pekerjaan, merebut peluang dengan berkunjung ke KIS 2026.
“Sesi temu duga diadakan di lokasi program. Saya berharap anak-anak muda, khususnya graduan dan mereka yang sedang mencari pekerjaan, datang ke Imago Kota Kinabalu untuk merebut peluang ini dan berjumpa terus dengan wakil syarikat yang sudah bertapak di Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan KIS 2026 di The Oval, Imago Shopping Mall, di sini, hari ini.
Ewon berkata, program anjuran Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) itu melibatkan penyertaan 24 agensi kerajaan, syarikat perindustrian dan institusi pengajian, khususnya institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, kerjasama antara industri dengan institusi pengajian perlu diperkukuh supaya modul latihan TVET memenuhi keperluan tenaga kerja syarikat perindustrian di Sabah.
Beliau berkata, maklum balas majikan mengenai kemahiran yang diperlukan penting bagi membantu institusi pendidikan dan penyedia latihan menyediakan anak tempatan untuk mengisi pekerjaan yang diwujudkan hasil perkembangan industri negeri.
“Apabila kita bercakap tentang pembangunan industri dan kemasukan pelaburan, kita juga perlu memastikan rakyat Sabah mempunyai kemahiran serta peluang untuk mengisi pekerjaan yang diwujudkan,” katanya.
Ewon berkata, selaras dengan pendekatan Sabah First dan dasar 80:20 bagi pengambilan tenaga kerja oleh syarikat pelabur, kerajaan mahu sekurang-kurangnya 80 peratus peluang pekerjaan berkenaan diisi oleh tenaga kerja tempatan.
Katanya, kejayaan KIS 2026 perlu dilihat melalui hasil selepas program berakhir, termasuk temu duga susulan, penempatan pekerjaan dan peluang latihan yang benar-benar dapat dimanfaatkan oleh rakyat Sabah.
Beliau berkata, kementeriannya akan memberikan sokongan sewajarnya kepada DIDR untuk meneruskan program berkenaan pada masa akan datang.
Lapan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan itu ialah AR Food Industrial Sdn. Bhd,. SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd., Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd., EG Development (Sabah) Sdn. Bhd., Sushi Panda Management Sdn. Bhd., ROII Innovation Industries (M) Sdn. Bhd., NCT Forwarding & Shipping (M) Sdn. Bhd. dan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd.
































