Anwar Ibrahim (kiri) dan Li Qiang
HANGZHOU (Bernama): Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Shanghai dan Hangzhou, China bukan sekadar kunjungan diplomatik rutin, sebaliknya menjadi penanda aras baharu kepada kesinambungan hubungan strategik yang memperkukuh kerjasama pelbagai bidang kedua-dua negara.
Di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, pendekatan Diplomasi MADANI yang dibawa oleh Putrajaya terbukti membuahkan hasil, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik utama Beijing di rantau Asia Tenggara.
Lawatan kerja atas inda gan kerajaan China itu bukan sekadar memperkukuh hubungan dua hala, malah membuka ruang baharu untuk Malaysia memperluas pelaburan, pasaran eksport serta kerjasama dalam bidang ekonomi strategik dan bernilai tinggi.
Antara hasil utama lawatan itu ialah potensi pelaburan bernilai RM28.6 bilion daripada pertemuan dengan 26 syarikat China, termasuk lima syarikat gergasi republik itu, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, pengarusutamaan kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi serta pembuatan termaju.
Komitmen syarikat seperti syarikat gergasi robotik AgiBot Innovation, ZTE Corporation, Alibaba Group, Geely Automobile Holdings dan Huawei Techonologies untuk meningkatkan pelaburan adalah atas dasar keyakinan terhadap kestabilan dan dasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
Turut dicapai daripada lawatan ini ialah potensi eksport ke China bernilai RM8.2 bilion bagi tempoh satu hingga tiga tahun.
Hubungan Malaysia dan China kukuh
Merumuskan hasil keseluruhan lawatan itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata hubungan Malaysia dan China kini berada pada tahap sangat kukuh dan berkembang secara positif.
Menyifatkan hubungan erat Malaysia dan China hari ini telah melangkaui kerangka diplomatik biasa, Perdana Menteri berkata hubungan dua hala ini adalah atas landasan kepercayaan, keikhlasan dan keyakinan bersama demi mengalirkan limpahan kemakmuran serta manfaat buat rakyat kedua-dua negara.
Dalam tempoh lawatan kerja yang padat, Anwar menekankan kepercayaan yang telah lama terbina serta keyakinan bersama menjadi asas kepada hubungan dua hala Malaysia-China dan kerjasama yang melangkaui hubungan diplomatik tradisional.
Hubungan Malaysia-China turut diterjemahkan kepada agenda yang lebih luas meliputi kesalinghubungan, perlindungan perusahaan tempatan, ekonomi digital dan pembangunan bakat serta kemahiran.
Semasa menyampaikan ucaptama pada sesi pleno WorldSkills Shanghai 2026, Anwar berkata Malaysia mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) sebagai teras dasar perindustrian negara dan instrumen transformasi ekonomi, khususnya dalam memastikan pembangunan bakat seiring dengan kemasukan pelaburan.
“Malaysia dan China mempunyai kedudukan yang baik untuk melakukan lebih banyak perkara bersama. Pelaburan tiba di Malaysia atas pelbagai sebab. Tetapi kita semua tahu, ia berkembang terutamanya apabila terdapat kemahiran yang mencukupi untuk menyokongnya,” kata beliau.
Semasa di Hangzhou, penyertaan julung kali Malaysia pada Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima memberi pendedahan kepada penerokaan teknologi baharu serta aplikasi AI yang wajar dipelajari dan ditimba kekuatannya daripada kemajuan pesat China.
Malaysia turut menawarkan pangkalan yang stabil, terhubung luas dan mesra perniagaan untuk rakan kongsi dari China mahupun global untuk memeterai kerjasama strategik.
Penyertaan Malaysia di WorldSkills, GDTE satu pengiktirafan
Penyertaan Malaysia dalam kedua-dua acara penting China dan kehadiran Anwar untuk menyampaikan ucaptama pada WorldSkills Conference 2026 dan GDTE adalah satu pengiktirafan tinggi kepada Malaysia dan kepimpinan negara.
Peluang untuk menyampaikan ucapan pada kedua-dua acara itu menjadi platform untuk Perdana Menteri menyuarakan pendirian mengenai kepentingan teknologi digital yang beretika, perdagangan digital yang adil dan bebas serta kemakmuran bersama menerusi kerjasama strategik negara.
Anwar turut menzahirkan pengiktirafan kemajuan pesat China dalam bidang teknologi digital dan AI serta peranannya dalam berkongsi kemajuan teknologi dengan negara-negara Selatan Global.
Pertemuan dan perbincangan dua hala kedua-dua delegasi Malaysia dan China di West Lake State Guest House, Hangzhou, menyerlahkan tahap keakraban peribadi antara Anwar dan rakan sejawatnya, Li Qiang.
Hubungan erat antara kedua-dua pemimpin bukan lagi rahsia. Pertemuan berulang kali dalam tempoh Anwar menerajui kepimpinan negara pada November 2022 mencerminkan tahap kepercayaan tinggi yang melangkaui protokol formal diplomatik.
Keakraban ini membolehkan isu-isu kompleks seperti rantaian bekalan, pelaksanaan projek infrastruktur dan prasarana serta kestabilan geopolitik serantau dan antarabangsa dibincangkan secara terus terang dan santai, namun berkesan.
Antara hal yang dibincangkan semasa mesyuarat dua hala itu ialah persetujuan Malaysia dan China dengan cadangan untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan, sekali gus memberi limpahan ekonomi dan memakmurkan kawasan luar bandar di Kelantan.
Turut diberi perhatian ialah keresahan peniaga kecil, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mengenai kebimbangan penguasaan pihak luar yang boleh menjejaskan kepentingan tempatan.
“Perkara ini telah dikemukakan secara terus dan kita mendapat jaminan daripada syarikat berkaitan, termasuk Alibaba serta Li sendiri bahawa kaedah terbaik akan dicari agar urusan perniagaan tidak menjejaskan kepentingan PKS di Malaysia,” kata Anwar.
Lawatan kerja ini bukan sekadar mengekalkan status China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, malah mentakrif semula landskap kerjasama daripada perdagangan komoditi tradisional kepada ekonomi digital, kecerdasan buatan dan kemahiran tinggi.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Kombinasi Diplomasi MADANI yang pragmatik dan hubungan rapat Anwar dan Li Qiang meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik untuk memaksimumkan faedah ekonomi demi kesejahteraan rakyat. — BERNAMA
































