Jamawi (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua yg hadir majlis perasmian Fiesta Moonsoi 2.0 SMK Tenom.
TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar yang juga ADUN Melalap memberi komitmen untuk meneruskan usaha pembangunan pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada 2027.
Beliau berkata, beliau akan terus melaksanakan pelbagai program, khususnya bagi meningkatkan pendidikan serta pembelajaran SPM dan STPM bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom.
“Untuk tahun 2026, saya telah membelanjakan peruntukan lebih kurang RM265,000 untuk pelbagai program, aktiviti dan juga kemajuan pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri Melalap.
“Saya rasakan bahawa komitmen itu saya akan teruskan pada tahun 2027 agar banyak lagi program-program, terutamanya peningkatan pendidikan, pembelajaran SPM dan juga STPM akan kita dapat laksanakan bersama-sama dengan PPD,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Moonsoi 2.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenom, hari ini.

Jamawi (kanan) beramah mesra dan bersalaman dengan pelajar.
Jamawi berkata, beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pendidikan Daerah Tenom pagi tadi bagi membincangkan kalendar pendidikan, program-program dan perkara berkaitan bagi 2027.
Beliau turut meminta pihak PPD menyelaraskan program kokurikulum di peringkat sekolah supaya setiap aktiviti mempunyai penaja.
Katanya, beliau telah mengambil inisiatif untuk menaja program pendidikan SPM dan STPM bersama cikgu Stella.
“Saya juga telah mengumumkan dengan PPD tadi bahawa untuk program-program kokurikulum bola sepak dan juga takraw itu juga di bawah saya,” katanya.
Jamawi berkata, program-program kokurikulum lain boleh dipadankan dengan pimpinan lain supaya pihak pentadbir sekolah, tuan rumah atau pengelola tidak perlu lagi memikirkan sumber peruntukan bagi menjalankan aktiviti kokurikulum dan pendidikan di peringkat sekolah.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan kebun sekolah dan kebun asrama turut penting dalam memberi pendidikan kepada pelajar mengenai kepentingan bercucuk tanam dan berbudi kepada tanah.
Katanya, inisiatif berkenaan dapat membantu pelajar berdikari apabila mereka keluar dari sekolah, selain menggalakkan ibu bapa dan masyarakat kampung mengusahakan kebun dapur di rumah atau di mana sahaja.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada warga sekolah kerana berjaya menganjurkan sambutan Pesta Moonsoi buat kali kedua.

Jamawi (tengah) ketika melawat kebun sekolah asrama SMK Tenom.
Sementara itu, Jamawi berkata, tender bagi pembinaan kilang memproses avokado di Kampung Bunut telah dikeluarkan dengan kos RM2 juta disediakan kerajaan.
Katanya, lokasi kilang berkenaan terletak di atas tanah milik Jabatan Pertanian Sabah.
“Dengan wujudnya kilang ini, akan dapat membantu memproses hasil-hasil avokado yang tidak boleh dijual.
“Kalau gred A, gred B yang sesuai untuk dijual di pasaran terbuka, kita jual. Tetapi kepada pekebun-pekebun yang mungkin ada yang tidak boleh dijual kerana kurang kualiti grednya ataupun kulitnya mungkin tidak berapa sesuai, tidak cantik dan sebagainya, isi boleh kita ambil,” katanya.
Beliau berkata, biji avokado juga boleh diambil untuk diproses menjadi bahan sampingan atau bahan berasaskan avokado.
Hadir sama ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Tenom Sektor Pembelajaran, Stella Bibis; Pengetua SMK Tenom, Malek Mohd Shafdar; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Densley Justin; Pengerusi PIBG SMK Tenom, Roymie Unggi serta semua barisan kepimpinan sekolah.
































