KOTA KINABALU: Tiga pelajar Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah yang muncul Johan Kebangsaan National Science Challenge (NSC) 2026 menerima sumbangan khas daripada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib.
Mereka ialah Brenna Carmen Hee, Carol Lee Sing Nee dan Kang Juwon, yang turut membawa pulang Piala Cabaran Perdana Menteri menerusi kejayaan itu.
James berkata, pencapaian berkenaan amat membanggakan dan membuktikan keupayaan pelajar Sabah untuk menyerlah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Saya amat teruja dengan pencapaian cemerlang pelajar dan sekolah ini.
“Saya berharap guru dan pelajar SM Tshung Tsin Sabah akan terus membangun dan memberikan sumbangan lebih besar kepada bidang STEM di Sabah dan seluruh negara,” katanya.
Beliau turut menggalakkan sekolah-sekolah lain di Sabah menjadikan SM Tshung Tsin sebagai contoh serta mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti STEM.
Ketiga-tiga pelajar itu dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 28 September ini sebelum mewakili Malaysia ke Jepun pada Oktober depan bagi menyertai aktiviti STEM.
Kos penerbangan dan penginapan sepanjang penyertaan di Jepun ditaja Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Turut hadir Pengetua SM Tshung Tsin, Dr. Chung Chin Hing; Penasihat Sekolah, Emily Han; dan Setiausaha Politik kepada Menteri, Justinus Jalang.
































