KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKPS) memuktamadkan cadangan penjajaran di lapan laluan Bas.My (Pink Bus) bagi mengoptimumkan perkhidmatan dan memenuhi peningkatan permintaan penumpang.
Pengerusinya, Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata, jumlah penumpang Bas.My menunjukkan peningkatan ketara dengan 367,798 penumpang direkodkan setakat 20 September 2026.
Beliau berkata, penjajaran baharu itu dijangka meliputi sekurang-kurangnya 70 peratus laluan utama di kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Antara tempat baharu dalam penjajaran laluan ini adalah Tanjung Aru, Klinik Luyang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Bandar Sierra dan Kota Kinabalu High School,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Phoong berkata, proses penyelarasan penjajaran laluan baharu itu dijangka selesai pada 15 Oktober 2026.
Katanya, mesyuarat Anggota LPKPS Bilangan 7 2026 pada 25 September turut membincangkan tindakan, penyelarasan dan kerjasama berterusan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), DBKK serta pihak berkepentingan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur seperti hentian bas, lay-by dan kotak bas di lokasi kritikal dalam masa terdekat.
Beliau turut mengarahkan supaya pemantauan dan penguatkuasaan terhadap operasi Bas.My dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan beroperasi dengan teratur, mematuhi syarat operasi serta memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang.
Phoong berkata, perkhidmatan pelesenan kenderaan perdagangan juga perlu ditingkatkan dengan mengurangkan karenah birokrasi dalam proses sedia ada.
Katanya, antara perkara yang diberi perhatian ialah keperluan dokumentasi sokongan yang tidak memberi signifikan kepada objektif pengeluaran lesen seperti kontrak perjanjian perniagaan, maklumat kebankrapan dan dokumen lain.
































