Masidi (tengah) bergambar bersama Rusdin (tiga dari kanan), Ishak, Mohd. Sofian dan Taitim.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) di pejabatnya, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan SCC selaras dengan agenda pembangunan ekonomi negeri.
Dalam pertemuan itu, Masidi diberi taklimat mengenai prestasi semasa SCC, hala tuju perbadanan berkenaan serta peranan berterusannya dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi Sabah yang inklusif dan mampan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SCC, Datuk Rusdin Riman atas pelantikannya, sambil menzahirkan keyakinan bahawa beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan serta terus memperkukuh peranan SCC dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Masidi turut merakamkan penghargaan atas komitmen SCC dalam membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah dan menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik serta pengurusan kewangan yang berhemah bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Pembantu Menteri Kewangan II, Dato’ Ishak Ayub; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Sofian Alfia Nair; Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Datuk George Taitim Tulas; serta wakil-wakil lain.






























