Jumain (kiri) memberi penerangan berkaitan blok bangunan yang terbakar.
TAMBUNAN: Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, walaupun kejadian itu menjejaskan operasi, namun murid-murid tetap meneruskan pembelajaran di bangunan sedia ada serta asrama yang masih selamat digunakan.
“Jadi yang terbakar ini adalah terdiri daripada kelas sekolah agama, di mana ada sembilan buah kelas, sebuah blok untuk beli guru dan ada asrama juga belajar di belakang sana, termasuk pengguna SPBT.
“Sebagai tindakan awal daripada jabatan, selepas mendapat kebenaran daripada pihak Bomba dan keselamatan, kita akan sedaya upaya untuk clearing kawasan ini sebab pelajar kita masih belajar di sekolah ini.
“Seterusnya, kita mengarahkan jurutera untuk memastikan wiring bangunan yang ini tidak terjejas dan jabatan akan memastikan asrama ini akan dibagi peringkat untuk dijadikan kelas asrama dan juga bilik guru. Jadi, ini tindakan awal kita supaya pendidikan tidak terjejas dan akan berjalan seperti biasa,” ujarnya.
Ketika menyampaikan taklimatnya, Jumain memaklumkan perancangan jangka panjang sekolah berkenaan untuk dijadikan sekolah integrasi yang menggabungkan pendidikan agama dan akademik.
“Walau bagaimanapun, kita akan sedaya upaya untuk jangka panjang, kerana kawasan ini kita telah umumkan untuk dijadikan sekolah sebagai sekolah integrasi, di mana sekolah ini akan mendapat pendidikan sekolah agama dan akademik serentak.
“Jadi sudah tentu akan mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar di luar sana dan sudah pasti asrama sekolah yang sedia ada ini tidak dapat menampung.
“Buat masa ini, kapasiti asrama ini 80 orang. Pelajar ada 170 orang yang tinggal di asrama. Buat masa ini, ada 23 orang yang masih boleh untuk jabatan memastikan belajar di tempat belajar dengan baik,” jelas beliau kepada media selepas mengiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang melawat ke sekolah itu, hari ini.
Sementara itu, Guru Besar SAN Pekan Tambunan, Ahmad Subri Janing menzahirkan penghargaan kepada Hajiji serta semua agensi yang menunjukkan keprihatinan terhadap musibah yang menimpa sekolah berkenaan.
“Saya mewakili warga sekolah serta para ibu bapa merakamkan setinggi penghargaan kepada yang berhormat YAB Ketua Menteri, kehadiran beliau menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri atas musibah yang berlaku kepada rakyat khususnya, kepada sekolah ini.
“Kami juga berterima kasih atas pengumuman bahawa sekolah ini akan mendapat bangunan dan asrama baharu. Mudah-mudahan hasrat ini dapat direalisasikan demi manfaat pelajar dan ibu bapa di daerah Tambunan,” katanya.
SAN Tambunan yang ditubuhkan sejak tahun 1972, merupakan antara institusi pendidikan Islam terawal di daerah itu dan menjadi rujukan utama umat Islam setempat.
Walau bagaimanapun, dua blok bangunan termasuk bilik darjah dan asrama musnah sepenuhnya dijilat api manakala, kuarters guru sekolah separuh musnah dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang Ahad lalu.


































