Tun Musa (tengah) bergambar kenangan dengan rombongan CGC.
KOTA KINABALU : Credit Guarantee Corporation (CGC) Malaysia Berhad menyasarkan untuk memperluaskan lagi bantuan pembiayaan serta jaminan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.
Presidennya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata ini selaras dengan potensi besar negeri Sabah dalam pelbagai sektor ekonomi dan memiliki kelebihan terutama dalam sektor pelancongan, pertanian, pembuatan serta pembangunan sumber manusia.
“CGC melihat Sabah sebagai negeri yang kaya dengan potensi untuk memajukan kehidupan ekonomi PMKS. Sehingga kini, terdapat sekitar 3,000 PMKS di Sabah mendapat pinjaman CGC dengan jumlah mencecah RM780 juta.
“Aspirasi kami adalah untuk menambah bantuan jaminan kepada lebih ramai usahawan di negeri ini terutamanya dalam kalangan kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan jalan raya dan projek Pan Borneo,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Selasa.
Kunjungan tersebut bagi memaklumkan Tun Musa tentang peranan dan kesediaan CGC dalam membantu memperkasakan lagi PMKS di Sabah.
Beliau menjelaskan, CGC yang merupakan anak syarikat Bank Negara Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bukan sahaja dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) malah dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan.
Melalui kolaborasi bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), CGC turut terlibat dalam penganjuran kelas bimbingan bersama beberapa bank tempatan bagi membantu PMKS mengukuhkan struktur pentadbiran dan kewangan masing-masing.
“Usahawan yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan boleh mengunjungi cawangan CGC di KK Times Square atau menggunakan platform dalam talian, imSME.
“Melalui www.imsme.com.my, mereka hanya perlu mengisi maklumat perniagaan dalam empat langkah mudah. Sistem kami menggunakan algoritma bagi mencadangkan produk pembiayaan yang ditawarkan oleh bank-bank dan CGC sendiri berdasarkan keperluan mereka.
“Lazimnya, usahawan baharu sukar mendapatkan pembiayaan daripada bank kerana ketiadaan rekod prestasi atau cagaran. Di sinilah peranan CGC, kami menilai potensi perniagaan dan jika ia meyakinkan CGC akan menjadi penjamin kepada pinjaman tersebut,” ujar beliau.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1972, CGC telah meluluskan jaminan berjumlah RM101.3 bilion kepada lebih 400,000 PMKS di seluruh negara dan kini sedang menjalankan kajian berhubung sasaran jaminan pada tahun hadapan berdasarkan pembentangan Bajet 2026.


































