Bapa dan ibu mangsa, Khairol Rizal Mustafar dan iNorfazila Md Lajin menerima kunjungan ziarah Fadhlina di rumah mereka di Kampung Masjid, Lenggeng, Seremban hari ini.
SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) menggerakkan audit keselamatan sekolah susulan insiden seorang murid lelaki sembilan tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah rendah di Lenggeng, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat insiden berkenaan.
Katanya, laporan terperinci akan dikemukakan dengan segera untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“KPM telah menggerakkan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan dan perkara ini berada dalam pemantauan kami.
“Kejadian ini memberi kita perhatian cukup penting. Kami akan pastikan langkah sewajarnya diambil supaya ia tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas menziarah keluarga Allahyarham Abdul Fattah Khairol Rizal,9, di Kampung Masjid Lenggeng di sini, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Fadhlina meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni ibu dan bapa Allahyarham Abdul Fattah disamping menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit.
Beliau pada masa sama turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak termasuk seorang pemuda, Muhammad Arsyad Jahaya, yang membantu menyelam ke dalam lubang kumbahan dalam usaha mengeluarkan murid terbabit dalam kejadian semalam.

































