Azlikamil Napiah menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik penyerahan bantuan Projek Menaik Taraf Infrastruktur Surau Parit 5 Timur (Tengah) dalam program Kampung Angkat Madani MySA, dekat Sungai Panjang, di Sabak Bernam, Selangor, kelmarin.
SABAK BERNAM: Malaysia dijangka memulakan pembinaan tapak pelancaran roket sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan sektor angkasa seawal 2029.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MySA) Datuk Gs. Azlikamil Napiah berkata, terdapat tiga lokasi dikemukakan oleh tiga pihak yang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.
Menurutnya, tiga lokasi itu masing-masing di Pahang, Sabah dan Sarawak yang mana setiap pihak melibatkan syarikat, agensi berkaitan dan kerajaan negeri.
“Pada bulan ini ada satu laporan kajian yang sudah pun dihantar kepada MySA dan penilaian terhadapnya akan dilakukan dalam tempoh 90 hari.
“Banyak sebenarnya pihak berminat (dengan projek pembinaan tapak pelancaran roket) MySA bagi pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan garis panduan atau tatacara bagi kajian dan pelaksanaan dasar,” katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.
Tambah Azlikamil, pembinaan projek mega tersebut adalah peluang ekonomi strategik bagi negara di rantau Asia Tenggara.
“Ini kerana, pelancaran roket di Malaysia yang terletak di kawasan Khatulistiwa memendekkan masa serta mengurangkan kos perjalanan ke lokasi geo di angkasa lepas,” ujarnya.
April lalu, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Pahang melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan bekerjasama dengan China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) dan Lestari Angkasa Sdn. Bhd. untuk membangunkan Pelabuhan Angkasa Antarabangsa pertama di Asia Tenggara.
Projek yang akan digunakan untuk pelancaran roket membawa satelit ke angkasa itu dijangka siap seawal tiga hingga lima tahun akan datang di lokasi sama ada di Gebeng atau Pekan.
Lokasi Pahang yang strategik berdekatan dengan khatulistiwa dapat mengoptimumkan kos pelancaran roket ke angkasa.
Jelas Azlikamil, pembinaan projek mega tersebut adalah sebahagian daripada Dasar Angkasa Negara 2030 yang meletakkan tiga matlamat utama antaranya memastikan sektor tersebut mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Satu peratus itu melibatkan jumlah kira-kira RM10 bilion. Kemudian, kita hendak pastikan dalam tempoh 10 tahun nanti akan wujud tidak kurang daripada 5,000 peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda dalam sektor angkasa.
“Selain itu, kita juga hendak pastikan pendapatan negara dalam konteks maklumat dan data yang diperolehi melalui teknologi angkasa dapat dikomersialkan sekurang-kurangnya RM40 juta setahun,” tambahnya.
Katanya, selain pembinaan tapak pelancaran roket, dalam usaha membangunkan ekonomi angkasa negara, bandar angkasa juga akan diwujudkan bagi menempatkan kawasan perindustrian sektor berkenaan.
































