Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berkompromi dalam mempertahankan piawaian sijil halal bertaraf dunia yang dimiliki biarpun isu itu dibangkitkan dalam rundingan tarif bersama Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam rundingan tarif yang disifatkan kompleks dan mencabar itu, pensijilan halal Malaysia dilihat sebagai bentuk halangan bukan tarif.
Namun katanya, Kabinet memutuskan bahawa piawaian sijil halal adalah ‘garisan merah’ yang wajib dipertahankan.
“Rundingan tarif dilakukan Malaysia bersama AS adalah proses yang kompleks dan mencabar. Antara isu yang dibangkitkan ialah pensijilan halal negara kita, yang dianggap sebagai bentuk halangan bukan tarif.
“Namun Kabinet memutuskan piawaian halal kita adalah garisan merah yang mesti dipertahankan dan itulah yang kita lakukan dengan MITI mengetuai pasukan rundingan Malaysia.
“Walaupun kita bersetuju memudahkan proses import bagi sesetengah produk yang diperakui halal ke Malaysia, kita tetap tegas mempertahankan piawaian halal bertaraf dunia yang kita miliki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Tengku Zafrul berkata, sistem perdagangan global kini memerlukan penetapan semula, bukan sekadar langkah sementara atau kewujudan ‘kelab’ perdagangan baharu tetapi pembinaan semula perdagangan dunia yang lebih adil.
Katanya, cadangan ini tidak boleh dipandang ringan kerana perkembangan terkini membuktikan tiada negara boleh berdiri sendiri, malah geopolitik dan geoekonomi saling berkait rapat.
“Industri halal tidak boleh dilihat sebagai isu nasional semata-mata kerana ia mempunyai dimensi sejagat dengan dua bilion umat Islam di seluruh dunia.
“Pasaran halal global yang bernilai AS$3.5 trilion juga dijangka berkembang kepada AS$5 trilion menjelang 2030,” katanya.
Kata beliau lagi, kerjasama pelbagai hala dalam industri halal global harus menjadi keutamaan.
“Halal kini bukan sahaja diterima oleh umat Islam, malah semakin mendapat permintaan daripada pelbagai agama dan budaya kerana nilainya berasaskan integriti, kebersihan dan etika.
“Kedudukan ekonomi dunia Islam secara mampan dan inklusif akan mengukuhkan suara kita di pentas global.
“Industri halal boleh membantu kita mencapai matlamat ini, selain menjadi pengecualian ketika dunia berdepan peningkatan perlindungan perdagangan dan konflik bersenjata,” katanya.


































