Anwar berbual dengan Hajiji sebelum mesyuarat MTPMA63 bermula di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching hari ini. Turut kelihatan Abang Johari (dua kanan) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan).
KUCHING: Sabah membangkitkan beberapa isu termasuk menambah kerusi Parlimen bagi negeri itu dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, mesyuarat itu berlangsung dalam suasana mesra yang telah membuka ruang untuk perbincangan lanjut.
Beliau berkata, Sabah mahu lebih banyak kerusi Parlimen diwujudkan di negeri itu selaras dengan semangat MA63 serta memperkukuh kepentingan negeri dan rakyatnya.
“Secara prinsipnya, Perdana Menteri bersetuju namun perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci di peringkat teknikal kerana ia akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Inilah sebabnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting,” katanya selepas mesyuarat di Kompleks Satria Pertiwi di sini.
Isu lain yang dibangkitkan ialah supaya sektor pelancongan disenaraikan dalam senarai bersama, yang juga akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk dibincangkan.
Delegasi Sabah terdiri daripada Timbalan-timbalan Ketua Menteri – Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.
Sementara itu, Hajiji turut mengalu-alukan pelancaran projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak Fasa 2 (SSLR 2) bernilai RM7.6 bilion hari ini yang menandakan langkah besar dalam meningkatkan keterhubungan antara dua negeri terbesar di Malaysia.
Beliau berkata, projek itu bukan sahaja penting dalam memperkukuh keterhubungan lancar antara Sabah dan Sarawak malah turut memainkan peranan besar dalam merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi perdagangan dan pelancongan.
Delegasi Sarawak diketuai oleh Premier Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.


































