SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura sedang membincangkan kerjasama dengan syarikat platform bagi membolehkan tempahan teksi rentas sempadan dibuat melalui aplikasi, kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, CNA melaporkan, cadangan itu turut meliputi kemungkinan menambah kuota kenderaan serta membenarkan kenderaan kapasiti lebih besar sebagai peluasan skim teksi rentas sempadan sedia ada.
Mesyuarat minggu lalu melibatkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow; Menteri Kanan Negara Sun Xueling, Kementerian Pengangkutan, LTA, serta wakil daripada Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Kebangsaan (NPHVA) dan Persatuan Teksi Singapura-Johor Bahru.
Menurut LTA dalam hantaran di Facebook, pihak berkuasa mengakui skim sedia ada boleh dipertingkat, antaranya dengan menambah lokasi ambil dan hantar penumpang serta memudahkan proses pelepasan sempadan.
Pada masa ini, teksi rentas sempadan hanya dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tertentu iaitu Larkin Sentral di Johor Bahru untuk teksi Singapura dan Terminal Ban San Street di Singapura untuk teksi Malaysia.
Perbincangan itu turut menyentuh soal pemantapan perkhidmatan titik-ke-titik rentas sempadan bagi memenuhi keperluan penumpang Singapura, memberi peluang kepada pemandu tempatan serta mengekang kegiatan kenderaan haram.
“Para peserta mengakui wujud permintaan daripada rakyat Singapura yang mahu ke Malaysia, namun tidak dapat dipenuhi sepenuhnya oleh skim teksi rentas sempadan sedia ada,” kata LTA.
Permintaan itu termasuk keperluan keluarga besar dengan anak kecil, warga emas yang menziarahi saudara-mara di Malaysia, serta ahli perniagaan yang menghadiri mesyuarat di seberang tambak.
“Terdapat rakyat Singapura yang sanggup membayar untuk perkhidmatan ini, dan pemandu tempatan yang berminat serta mampu menyediakannya,” tambah LTA.
Dalam kenyataan berasingan di Facebook, NTA dan NPHVA berkata, cabaran semasa perkhidmatan rentas sempadan memerlukan penyelesaian yang dapat menyeimbangkan keperluan kedua-dua negara.


































