Pihak Berkuasa Thailand menyekat laluan masuk di kawasan kejadian bom di Mukim Chuap, Daerah Cho-airing, Narathiwat, Thailand untuk siasatan lanjut.- Ihsan Polis
NARATHIWAT: Tujuh letupan bom menggegarkan tujuh daerah di tiga wilayah Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani sejak tengah malam semalam hingga awal pagi ini dengan dua kecederaan dilaporkan.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian itu turut disertai dengan tindakan pembakaran tayar kenderaan di jalan utama di ketiga-tiga wilayah tersebut yang dilakukan oleh kumpulan tidak dikenali.
Sumber keselamatan berkata, kejadian pertama di Narathiwat itu berlaku di Mukim To Deng, Daerah Sungai Padi apabila tayar dibakar di atas jalan raya diikuti dengan letupan di Lebuhraya 4056 berhampiran landasan kereta api di Kampung Aibatu, pada pukul 7.40 malam.
“Letupan itu mengenai seorang ketua kampung dan sukarelawan. Kedua-duanya cedera ringan dan diselamatkan oleh pihak berkuasa. Kejadian kedua berlaku di depan Masjid Dusunyior di Daerah Chanae, Narathiwat pada pukul 11.55 malam melibatkan satu letupan bom,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber memberitahu, selepas sejam letupan itu beberapa individu dilihat membakar tayar di atas jalan utama berhampiran pasar, tidak jauh dari masjid berkenaan. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian itu.
“Letupan seterusnya berlaku di hadapan sebuah bank di Pekan Bacho, Daerah Bacho, Narathiwat, pada pukul 11.56 malam tadi. Selain itu, tiga letupan bom juga berlaku berturut-turut mulai pukul 12.05 pagi tadi di hadapan sebuah bank di Mukim Chuap, Daerah Cho-airong, diikuti letupan bom berhampiran mesin pengeluaran wang automatk (ATM) sebuah bank dihadapan Pejabat Pentadbiran Mukim Tamayung, Daerah Si Sakhon,” ujarnya.
Sumber berkata, kejadian di Wilayah Yala pula bermula pukul 11.56 malam tadi dengan pembakaran tayar di atas Lebuhraya 409 di Kampung Niang, Mukim Po Seng, Daerah Mueang (bandar).
Katanya, pada pukul 12.53 tengah malam sebutir bom lagi diletupkan berhampiran sebuah ATM yang terletak di sebuah stesen minyak di Mukim Budi, Mueang.
“Kejadian di Wilayah Pattani pula melibatkan sebutir bom diletupkan berhampiran ATM Bank Islam Thailand di Mukim Puyut, Daerah Mueang, kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. Pegawai forensik dan pelupusan letupan masih menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi mengumpul bukti,” katanya.


































