TOKYO: Jepun mengeluarkan video amaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang mensimulasikan letusan Gunung Fuji bagi menggesa 20 juta penduduk Tokyo supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana itu.
Menurut Utusan Malaysia, video yang dikeluarkan minggu lalu oleh Bahagian Pencegahan Bencana, Kerajaan Metropolitan Tokyo itu menunjukkan suasana di jalan sibuk ketika seorang wanita menerima amaran letusan gunung berapi itu di telefonnya.
“Detik itu mungkin berlaku tanpa sebarang amaran,” menurut video itu, sebelum ia memaparkan visual dramatik kepulan asap tebal keluar dari Gunung Fuji.
Video tersebut memberi amaran gunung berapi itu boleh merebak ke Tokyo dalam tempoh dua jam, menyebabkan bahaya kesihatan kepada orang ramai serta mengganggu bekalan elektrik, lalu lintas dan pengedaran makanan.
Walaupun tiada petunjuk letusan bakal berlaku dalam masa terdekat, Fuji masih dikategorikan sebagai gunung berapi aktif.
Kali terakhir ia meletus adalah 318 tahun lalu, dalam peristiwa yang dikenali sebagai Letusan Hoei.
Sempena Hari Pencegahan Bencana Gunung Berapi pada Selasa lalu, Pejabat Kabinet Jepun turut mengeluarkan video simulasi berasingan yang menggesa orang ramai ‘membayangkan senario khusus’ agar lebih bersedia menghadapi kemungkinan letusan.
Jepun tidak asing dengan kejadian gempa bumi dan gunung berapi dahsyat berikutan terletak di Lingkaran Api Pasifik.
Pihak berkuasa Jepun meningkatkan amaran sejak tahun lalu, dalam usaha meningkatkan tahap kewaspadaan rakyat negara itu.


































