Dr. Zambry Abd. Kadir
PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa wujud perjanjian mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di negara ini adalah tidak berasas.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan, tuduhan kononnya kerajaan memberi kebenaran melalui ‘Graduate Pass’ kepada pelajar Bangladesh bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini adalah tidak benar sama sekali.
Jelasnya, semasa lawatan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus baru-baru ini, tidak ada sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di sini.
“Dakwaan bahawa wujud perjanjian sedemikian adalah tidak berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas kenyataan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah yang membangkitkan isu tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini, Zambry menasihatkan agar beliau lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan terutama membabitkan pendidikan tinggi.
Katanya, adalah tidak wajar seorang tokoh akademik membuat kenyataan bersandarkan laporan media luar tanpa fakta yang sahih sehingga menimbulkan persepsi mengelirukan rakyat.
“Sebagai seorang berlatarkan akademik, beliau seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta benar, tepat dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono.
“Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran.
“Saya ingin menegaskan agar Dr. Haim Hilman tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry turut mengingatkan supaya budaya menghasilkan ‘content’ untuk ditularkan di media sosial dengan fakta salah perlu segera dihentikan kerana ia tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
































