PETALING JAYA: Kertas siasatan telah dibuka berhubung penularan klip video memaparkan seorang murid berlari mengejar kereta dipandu ibunya setelah tertinggal di hadapan sebuah sekolah rendah di Seri Kembangan dekat sini.
Menurut Utusan Malaysia, laporan diterima daripada ibu kanak-kanak berkenaan yang merupakan suri rumah berumur 37 tahun.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 20 Ogos lalu kira-kira pukul 12 tengah hari ketika wanita itu mengambil pasangan anak kembarnya dari sekolah.
“Semasa membuat pusingan U wanita itu menyedari ketiadaan seorang daripada anaknya di dalam kereta.
“Pengadu terus memberhentikan kenderaan setelah melihat anak lelakinya mengejar kereta dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Farid berkata, video berdurasi seminit itu telah dimuat naik di platform Facebook dengan keterangan ‘marah anak janganlah tergamak buat sampai macam tu sekali’.
“Tindakan itu telah mengundang pelbagai komen negatif daripada pengguna media sosial terhadap wanita itu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Katanya, polis sedang mengesan pemilik video yang menularkan rakaman tersebut.
“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan pasangan suami isteri iaitu ibu bapa kepada murid terlibat sebaik laporan dibuat mereka pada 21 Ogos lalu.
“Keadaan murid dalam video berkenaan dalam keadaan baik,” katanya.
































