Mohd. Khalid Ismail
KUALA LUMPUR: Segelintir pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung sesuatu isu di media sosial termasuk berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir demi mengejar populariti dilihat boleh mengganggu siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya berusaha melaksanakan yang terbaik bagi memastikan undang-undang ditegakkan.
“Paling saya khuatir pada ketika ini adalah tindakan segelintir rakyat yang sentiasa inginkan populariti dengan mengeluarkan perkara atau menularkan isu melalui video di laman sosial seperti TikTok dan sebagainya.
“Ini sekali gus memberikan gambaran yang tidak betul mengenai kes yang sedang berjalan seperti kes (kematian) Zara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, kelmarin.
Beliau berkata, tugas pasukan penguat kuasa adalah menjalankan siasatan secara menyeluruh dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menentukan kesalahan mengikut undang-undang.
“Saya berharap supaya masyarakat dapat menerima tindakan yang sudah dibuat oleh pihak polis dalam memastikan ketelusan siasatan dan integriti pegawai PDRM dalam melaksanakan penugasan mengikut lunas undang-undang ditetapkan.
“Kita sudah pun mendakwa lima pelajar sekolah berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah. Perkara ini kita serahkan kepada pihak mahkamah bagi menentukan kesalahan berlaku yang mungkin perlukan kepada keputusan undang-undang di mahkamah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sentiasa prihatin dan menyalurkan maklumat berkaitan perkara mencurigakan untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
Lima remaja perempuan telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap pelajar tingkatan satu, Zara, bulan lalu.
Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah larangan bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum.
































