Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung di Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Empat skim utama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini tampil dengan wajah baharu melalui penjenamaan LINDUNG yang memperkukuh peranan agensi itu sebagai pelindung kebajikan rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, empat identiti berkenaan ialah Lindung Pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Lindung Kerjaya melalui Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), Lindung Kendiri bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Lindung Kasih yang menggantikan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif itu akan membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan keberkesanan dasar, kecekapan operasi serta perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pekerja.
“Antara pembaharuan yang akan digerakkan ialah perluasan fungsi Pusat Rehabilitasi Perkeso, perlindungan 24 jam kepada pekerja serta peningkatan kadar faedah supaya lebih relevan dengan keperluan semasa rakyat.
“Selain itu, operasi Perkeso akan diperkasa menerusi Rekayasa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dengan penggunaan teknologi baharu serta pengurangan kerenah birokrasi selaras Pekeliling Jabatan Perdana Menteri 2024,” katanya merasmikam Majlis Gala Pelancaran Penjanamaan Lindung Perkeso di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Pada majlis itu, lapan majikan termasuk tokoh hiburan dan usahawan terkenal diraikan sebagai Majikan Pesona Lindung atas komitmen mereka menjaga kebajikan pekerja dan konsisten mencarum dengan Perkeso.
Antara penerima penghargaan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Noor Neelofa Mohd Noor, Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid.
Selain itu, Christy Ng dan serta pasangan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel turut diberi penghargaan
Dalam pada itu, Steven menzahirkan penghargaan kepada media kerana menjadi rakan strategik dalam menyampaikan mesej perlindungan sosial hingga ke pelosok desa.
“Kita percaya dengan sokongan media, mesej Lindung akan menembusi setiap lapisan masyarakat agar semua pekerja sedar hak dan perlindungan yang tersedia untuk mereka,” katanya.
Subahan pula berkata, Lindung adalah identiti baharu yang mencerminkan misi dan visi Perkeso.
“Lindung bukan sekadar nama, sebaliknya ia ikrar Perkeso untuk melindungi yang lemah, menyokong golongan berusaha dan menjunjung maruah setiap pekerja dari kota ke desa bermula daripada pekerja am hingga ke peringkat professional.
“Harapan kami terhadap penjenamaan semula ini agar tiada siapa yang dibiarkan terjatuh tanpa sokongan Perkeso kerana kami percaya setiap rakyat yang memerlukan akan sentiasa ‘dilindungi’, ‘dibantu’ dan ‘diberdayakan’ demi kesejahteraan bersama,” katanya.
































