SANTIAGO: Peningkatan mendadak jumlah pelancong dan projek penyelidikan di Antartika semakin mencemarkan kawasan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Sustainability, pasukan penyelidik antarabangsa mendapati kawasan Antartika yang menerima kehadiran manusia kini mempunyai kepekatan zarah halus mengandungi logam berat 10 kali ganda lebih tinggi berbanding 40 tahun lalu.
Perubahan itu selari dengan lonjakan ketibaan pelancong tahunan ke benua putih itu daripada 20,000 orang kepada 120,000 dalam tempoh dua dekad, menurut Persatuan Pengendali Pelancongan Antartika Antarabangsa (IAATO).
“Kehadiran manusia yang semakin meningkat di Antartika menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran daripada pembakaran bahan api fosil, termasuk kapal, pesawat, kenderaan serta infrastruktur sokongan,” menurut kajian itu.
Kapal pelancongan yang menggunakan bahan api fosil melepaskan zarah halus mengandungi nikel, kuprum, zink dan plumbum. Kehadiran pencemar tersebut mempercepatkan pencairan salji.
“Salji di Antartika mencair lebih cepat di kawasan tumpuan pelancong kerana zarah pencemar,” kata pengarang bersama kajian, Raul Cordero dari Universiti Groningen, Belanda, kepada AFP.
“Seorang pelancong sahaja boleh menyumbang kepada pencairan sekitar 100 tan salji,” tambahnya.
Dalam tempoh empat tahun, pasukan penyelidik dari Chile, Jerman dan beberapa negara lain telah menjelajah sejauh 2,000 kilometer di Antartika untuk menilai tahap pencemaran.
Selain pelancongan, ekspedisi saintifik jangka panjang juga dilihat menyumbang kepada pencemaran, dengan kesan sehingga 10 kali lebih besar berbanding seorang pelancong, kata Cordero.
Kajian itu turut mengakui terdapat usaha positif, termasuk larangan penggunaan minyak berat yang sangat mencemarkan serta langkah industri pelancongan memperkenalkan kapal hibrid elektrik.
Namun, penulis kajian menegaskan masih banyak perlu dilakukan, khususnya mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil.
Dalam satu kajian berasingan yang turut diterbitkan dalam Nature pada hari sama, saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim di Antartika boleh menyebabkan kesan kekal, termasuk kenaikan paras laut beberapa meter yang bakal membawa bencana kepada generasi masa depan.


































