Nor Hisham Mohamad (tengah) bergambar bersama peserta pada Majlis Penutupan National Firefighter Drill 2025 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu kelmarin.
MARANG: “Lebih mengecewakan, individu yang terlibat adalah personaliti media sosial. Sepatutnya mereka menjadi teladan kepada masyarakat, bukannya membuat onar sehingga memalukan banyak pihak.”
Demikian kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berhubung kes laporan palsu kehilangan seorang pempengaruh permotoran baru-baru ini.
Kata beliau, tindakan tidak bertanggungjawab itu memaksa pelbagai agensi mengerah sumber termasuk aset, logistik dan anggota untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara intensif.
“Pelbagai pihak menggerakkan kekuatan dalam operasi SAR namun akhirnya mendapati laporan tersebut hanyalah palsu. Perbuatan membuat laporan palsu bukan sahaja membazirkan sumber dan tenaga malah boleh mengancam keselamatan anggota yang digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya selepas Majlis Penutupan National Firefighter Drill 2025 di Padang Kawad Akademi JBPM Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini kelmarin.
Terdahulu, insiden kehilangan palsu seorang pempengaruh permotoran dikenali sebagai Ija Naziruddin tular dalam media sosial sehingga mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Namun, siasatan lanjut polis mendedahkan laporan itu direka-reka, selepas adik kepada pempengaruh terbabit memaklumkan bahawa abangnya sebenarnya tidak hilang, sebaliknya melarikan diri ke negara jiran.
Mahkamah Majistret Muar kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 selepas mereka mengaku bersalah membuat laporan palsu mengenai kehilangan seorang pempengaruh permotoran di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu.
Menurut Nor Hisham, ramai berpendapat hukuman lebih berat sepatutnya dikenakan sebagai pengajaran agar kes seumpama itu tidak berulang.
“Kita telah berbincang secara dalaman dan ramai dalam kalangan warga JBPM mengharapkan tindakan lebih tegas diambil. Namun, kita serahkan kepada kebijaksanaan mahkamah dan Peguam Negara,” tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata, jabatan itu bersedia menghadapi peningkatan kebakaran tanah gambut susulan cuaca panas berpanjangan tanpa hujan yang kini melanda beberapa negeri.
Kata beliau, pihaknya kini dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Telian, Mukah dan Permai Jaya, Miri di Sarawak.
“Kes di Telian, Mukah amat membimbangkan kerana kawasan itu adalah resam gambut, jadi kebakaran cepat merebak ke dalam tanah. Kita telah arahkan jentera berat masuk untuk buat pemotongan garisan api.
“Kalau panas berpanjangan, tanah gambut boleh susut dan menyebabkan api merebak jauh ke bawah tanah. Bila ini berlaku, satu-satunya pilihan kita adalah laksanakan pembanjiran kawasan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JBPM menggantung tugas seorang anggota bomba bantuan susulan penularan video lucah melibatkan individu terbabit di media sosial baru-baru ini.
Katanyam tindakan segera diambil menerusi arahan kepada Pengarah JBPM Negeri Perak untuk menggantung tugasan anggota berkenaan selain menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman.
“Setakat ini, anggota terlibat telah digantung tugas dan pada masa sama, jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan dan kita beri tempoh 48 jam untuk siasatan awal. Prosedur ini penting bagi memastikan hak mendengar serta hak pembelaan diberikan kepada pihak terbabit sebelum sebarang keputusan akhir dibuat,” katanya.
































