Aaron Ago Dagang
KUALA LUMPUR: Sebanyak 11,967 kandungan berunsur 3R (agama, raja dan kaum) dikenal pasti dan dilaporkan kepada platform digital untuk tindakan penurunan bagi tempoh 2023 hingga Julai 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,673 kandungan berjaya diturunkan hasil kerjasama erat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia platform.
Katanya, pendekatan itu dilaksanakan meskipun kementeriannya tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan secara langsung terhadap kandungan berunsur 3R.
“Namun, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tetap memainkan peranan penting melalui pendekatan reformasi, mediasi dan kesedaran dalam usaha mengekang penyebaran kandungan berunsur kebencian yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama,” katanya di Dewan Rakyat, kelmarin.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai kesediaan kerajaan menggubal akta baharu bagi membendung ucapan kebencian yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama khususnya di platform dalam talian.
Aaron berkata, kerajaan berpandangan tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu ketika ini, sebaliknya menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
“Adalah memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi melalui Polis Diraja Malaysia serta MCMC,” katanya.
Pada masa sama, katanya, KPN juga melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kempen ‘Cakap Baik-Baik’ bagi mendidik masyarakat agar beretika dan bertanggungjawab dalam komunikasi dalam talian.
Menurut beliau, pemantauan isu perpaduan turut dilakukan melalui Sistem Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), penyelarasan tindakan pantas melalui Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) membabitkan 12 kementerian dan agensi serta pembangunan Dashboard Analitik Perpaduan untuk mengenal pasti kawasan ‘titik panas’ ketegangan kaum atau agama.
Antara insiden berjaya ditangani melalui pendekatan itu termasuk kes papan tanda berbaur perkauman oleh peniaga di Sepang, insiden tampar pelanggan bukan Islam ketika Ramadan, serta tindakan pantas terhadap dakwaan penyebaran agama oleh warga asing di kawasan perumahan awam.
“Kita juga bekerjasama rapat dengan MCMC bagi memastikan individu atau syarikat yang menyebarkan kebencian di platform digital dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.































